Berita Berita
'Azam Baki perlu letak jawatan segera' - BERSIH
KUALA LUMPUR 6 Mac – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kerajaan menubuhkan panel bebas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua dakwaan tertunggak yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, siasatan itu perlu meliputi semua tuduhan termasuk dakwaan membabitkan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam agensi penguatkuasaan berkenaan.
Menurut kenyataan tersebut, panel bebas atau RCI yang dicadangkan perlu diketuai tokoh terkemuka dan dihormati, selain bebas daripada keahlian menteri, penjawat awam serta Peguam Negara.
Ia bagi memastikan siasatan terhadap semua tuduhan tertunggak terhadap SPRM serta Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki dapat dijalankan secara telus dan bebas.
Dalam masa sama, BERSIH turut mendesak Azam supaya meletak jawatan bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan dalam siasatan yang sedang berjalan.
"Kehadiran dan kewujudan beliau dalam SPRM mempunyai konflik kepentingan sangat besar terhadap siasatan yang berjalan terhadap beliau.
"Tidak wajar kredibiliti SPRM terheret bersama Azam," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan juga digesa mewujudkan pelan reformasi menyeluruh, khususnya berkaitan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang bebas daripada campur tangan pihak Eksekutif.
BERSIH berkata, pelantikan tersebut seharusnya tertakluk kepada semakan Parlimen bagi memastikan pelaksanaan kuasa serta tugas SPRM lebih telus dan bertanggungjawab kepada institusi Parlimen.
"Perkara ini pernah dinyatakan dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) sebelum ini," katanya.
Menurutnya, BERSIH bersama beberapa kumpulan masyarakat sivil (CSO) sebelum ini berulang kali mendesak kerajaan melaksanakan reformasi SPRM sejak kontrak Azam disambung pada 12 Mei 2023.
"Ini bukanlah isu yang baru kali pertama berbangkit.
"Jika Kerajaan MADANI, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, gagal menangani isu Azam, 'mafia korporat' dan reformasi SPRM ini, dikhuatiri kepercayaan rakyat terhadap usaha-usaha reformasi serta melawan rasuah akan terus terhakis dan runtuh.
"Anwar tidak boleh salahkan BERSIH atas kegagalan kerajaan untuk melaksanakan reformasi melawan rasuah ini," katanya.
Sebelum ini media melaporkan kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bagi menyiasat dakwaan serta perkara berbangkit berkaitan Azam, termasuk isu pemilikan saham yang dilaporkan Bloomberg.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menyifatkan dakwaan BERSIH bahawa SPRM menjadi senjata politik kerajaan sebagai tuduhan tidak adil.
Beliau dipetik berkata, walaupun ia merupakan pandangan daripada BERSIH, pertubuhan itu tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa merujuk kepada laporan berkaitan terlebih dahulu.
Berita berkaitan
March 6, 2026, 8:34 pm
PKR saman 16 bekas wakil rakyat, tuntut RM10 juta setiap seorang
March 6, 2026, 8:13 pm
Keluarga Tun Daim saman Anwar, KPN dakwaan komplot guling kerajaan
March 6, 2026, 5:33 pm
Ibu remaja pandu Honda Jazz hingga ragut 3 nyawa didenda RM1,500
March 6, 2026, 5:19 pm
Harga RON95 masih terkawal walaupun konflik Asia Barat – Anwar
March 6, 2026, 4:51 pm
Kerajaan buat rombakan besar pengurusan tertinggi perkhidmatan awam
March 6, 2026, 4:43 pm
Polis buru dua suspek samun bersenjata parang di Shah Alam
March 6, 2026, 3:20 pm
