TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KJ mahu masuk UMNO semula

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 7 Mac – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO menerusi inisiatif ‘Rumah Bangsa’.

Perkara itu dinyatakannya menerusi petikan episod audio siar ‘Keluar Sekejap’ selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa parti berkenaan membuka pintu kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti tanpa syarat.

Dalam rakaman tersebut, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan turut mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar untuk menyediakan draf surat permohonan bagi tujuan itu.

“Saya melihat ini sebagai perkembangan positif dan peluang murni bagi saya secara peribadi.

“Bolehlah Bobby (Raja Syahrir) mula draf surat (permohonan menyertai inisiatif Rumah Bangsa)... saya hendak tengok draf surat berkenaan,” katanya.

Rakaman penuh episod ke-191 audio siar ‘Keluar Sekejap’ yang memuatkan ulasan Khairy mengenai hasrat tersebut dijangka disiarkan di platform media sosial beliau esok.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dilaporkan berkata, UMNO membuka ruang seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti itu melalui inisiatif ‘Rumah Bangsa’.

Beliau berkata, pelawaan tersebut turut dibuka kepada mana-mana individu yang ingin bersama perjuangan UMNO.

Menurutnya, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera mengikut tatacara yang ditetapkan dalam Perlembagaan UMNO.

Ahmad Zahid turut berharap usaha itu menjadi titik penyatuan bagi memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air serta memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara.

Pada Januari 2023, Khairy dipecat daripada UMNO selain bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan yang digantung keahlian.

Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, lima ahli UMNO Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Putrajaya, dua ahli UMNO Tanjong Karang dan 26 ahli UMNO Pahang turut dipecat kerana didakwa menjadi calon Bebas atau membantu parti lawan ketika Pilihan Raya Umum ke-15.

+ - reset