Berita Hiburan
Aedy Ashraf ambil risiko besar terbitkan Tarung: Unforgiven
KUALA LUMPUR 16 Mac – Sebuah lagi filem aksi tempatan berskala besar bakal menemui penonton menerusi Tarung: Unforgiven yang dijadualkan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Mei ini.
Filem terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu diarahkan Razaisyam Rashid yang terkenal dengan gaya visual dan sinematografi tersendiri.
Barisan pelakon utama filem berkenaan diperkenalkan secara rasmi dalam satu acara di Malaysia International Trade and Exhibition Centre hari ini, sekali gus menandakan permulaan promosi rasmi menjelang tayangan.
Turut dilancarkan sebuah video promosi berdurasi seminit yang akan ditayangkan secara eksklusif di pawagam seluruh negara.
Filem itu menampilkan barisan pelakon utama terdiri daripada Bront Palarae, Zul Ariffin, Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.
Razaisyam berkata, kekuatan utama filem itu terletak pada gabungan pelakon yang membawa tenaga berbeza bagi membentuk konflik lebih besar dan dekat dengan emosi penonton.
Menurutnya, tema utama filem tersebut berkisar kepada pertarungan dalaman manusia melawan kelemahan, ego dan ketakutan diri sendiri.
“Tema utama filem ini sangat peribadi, iaitu ‘you vs you’. Pertarungan paling sukar bukan menentang musuh di luar, tetapi menentang kelemahan dalam diri sendiri.
“Daripada sudut produksi, ini projek paling besar pernah kami hasilkan dengan pendekatan berbeza dari segi visual, koreografi aksi dan penceritaan,” katanya.
Dalam masa sama, Aedy yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif menyifatkan filem itu sebagai langkah baharu dalam kerjayanya apabila terlibat secara langsung dalam pembangunan dan hala tuju kreatif produksi.
Katanya, menerbitkan filem blockbuster pada usia 33 tahun merupakan satu risiko besar, namun dianggap sebagai evolusi dalam perjalanan seninya.
Tarung: Unforgiven mengisahkan seorang bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas satu tragedi, sebelum terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya tanpa menyedari lawan yang menanti ialah individu yang pernah rapat dengannya.
Perkembangan lanjut mengenai filem berkenaan boleh diikuti menerusi platform digital Alpha47, Icon Pictures dan Astro Shaw menggunakan tanda pagar #TarungUnforgiven.
Berita berkaitan
July 30, 2026, 3:02 pm
Pempengaruh kongsi Rohingya halau keluar Malaysia, dedah cara dapat bekalan perniagaan
July 27, 2026, 2:56 pm
'Macam mana info peribadi saya awak boleh tahu?',Fattah Amin berang fitnah melampau
July 20, 2026, 6:10 pm
Bella Astillah, Syed Saddiq timba nasihat rumah tangga daripada Tun M
July 3, 2026, 4:19 pm
Filem 'The Keris' angkat semula legasi Hang Tuah di pawagam
July 3, 2026, 3:12 pm
Safwan Nazri rugi RM400,000, jadi mangsa 'scam' kontraktor kawan baik
July 2, 2026, 7:52 pm
Eksperimen sosial Isa Isarb dedah sikap warga asing beri rokok pada pelajar sekolah
July 1, 2026, 12:18 pm
