TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki hidap HIV, leukemia dipenjara 10 tahun rogol wanita OKU

By
|
Kongsi
image

JOHOR BHARU 27 Mac - Seorang pesakit HIV dan leukemia dipenjara 10 tahun dan dikenakan lima kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol seorang wanita yang juga orang kurang upaya (OKU), Januari lalu.

Hakim Madihah Zainol menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, 39, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang wanita berusia 29 tahun yang mana tertuduh tahu wanita berkenaan mempunyai kecacatan fizikal iaitu kecacatan pendengaran, pertuturan dan lembam pembelajaran ketika kejadian berlaku.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Taman Jaya Mas, Skudai di sini, kira-kira jam 11.50 malam, 30 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Omar Kutty Abdul Aziz secara probono.

R Sivanesan dipenjara 10 tahun dan dikenakan lima kali sebatan. FOTO Izz Laily Hussein

Sebelum hukuman dijatuhkan, Omar Kutty memberitahu mahkamah bahawa tertuduh mohon maaf atas keterlanjurannya dan insaf di atas perbuatan yang dilakukan.

"Tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM2,200 sebulan. Dia menghidap penyakit HIV dan leukemia atau kanser darah.

"Masalah kesihatan dihidapi menyebabkan tertuduh perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Tertuduh banyak membuat kerja amal di kuil-kuil dan dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Dalam hujah pemberatan, Nor Fadilah memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam iaitu mangsa yang merupakan pemegang kad OKU melebihi kepentingan tertuduh.

"Tertuduh mengambil kesempatan ke atas mangsa yang mempunyai kecacatan fizikal iaitu masalah pertuturan, pendengaran dan lembam pembelajaran.

"Berdasarkan hujahan mitigasi peguam bela yang memaklumkan tertuduh menghidap penyakit HIV, ini bermakna, perbuatan tertuduh mendedahkan mangsa kepada risiko penyakit kelamin berjangkit.

"Mohon hukuman setimpal bersifat pengajaran dan mohon tertuduh dikenakan pengawasan polis serta kaunseling pemulihan," katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan itu berserta tambahan tertuduh perlu menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta menjalani pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

+ - reset