TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Amaran ribut petir, hujan lebat di kebanyakan negeri sehingga 6 petang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Mac - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka melanda kebanyakan negeri di Semenanjung serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sehingga jam 6 petang hari ini.

Menerusi kenyataan pada jam 3.30 petang tadi, kawasan yang terjejas di Semenanjung melibatkan Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

Keadaan cuaca buruk tersebut turut diramal melanda Johor yang melibatkan beberapa daerah utama seperti Tangkak, Muar serta Batu Pahat.

Bagi wilayah Sarawak, hujan lebat dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan hingga ke Mukah dan Kapit manakala di Sabah melibatkan kawasan pedalaman serta Pantai Barat termasuk Papar dan Kota Kinabalu.

MetMalaysia menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada ketika memandu dan mengelakkan sebarang aktiviti luar bagi mengurangkan risiko banjir kilat serta kejadian pokok tumbang.

Dalam perkembangan lain, beberapa daerah di Kedah kini berada pada Tahap 1 atau status berjaga-jaga berikutan peningkatan suhu harian yang mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

Antara kawasan yang mencatatkan cuaca panas tersebut termasuklah Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, Kuala Muda, Pulau Langkawi serta keseluruhan negeri Perlis.

Fenomena ini berlaku susulan bermulanya fasa peralihan monsun pada 29 Mac 2026 yang menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2025/2026.

“Negara dijangka menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir sepanjang tempoh peralihan ini,” menurut kenyataan tersebut.

Keadaan cuaca yang membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat itu lazimnya berlaku pada waktu petang dan awal malam di kawasan pedalaman serta pantai barat.

Fasa peralihan monsun ini dijangka akan berterusan sehingga Mei depan dengan tumpuan utama hujan di bahagian barat Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak.

+ - reset