TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

IPTA diberi kelonggaran laksanakan PdP dalam talian susulan cuaca panas

By
|
Kongsi
image

KUALA NERUS 30 Mac - Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kini diberi kebebasan untuk memutuskan langkah-langkah menangani cuaca panas yang berlarutan, termasuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kementerian akan memberikan fleksibiliti kepada setiap universiti untuk menentukan kaedah kuliah masing-masing mengikut keperluan semasa.

Beliau menjelaskan bahawa setakat ini pihak kementerian masih belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana universiti berhubung isu cuaca tersebut.

"Situasi di setiap kampus adalah berbeza-beza, maka pentadbiran universiti boleh mengambil langkah sendiri untuk melaksanakan pembelajaran dalam talian.

"Sebagai contoh, semasa pandemik Covid-19 dan musim banjir sebelum ini, universiti telah membuat keputusan membenarkan pelajar mengikuti kursus secara dalam talian bagi kurikulum yang tidak memerlukan kehadiran fizikal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pelajar universiti di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan bahawa cuaca panas semasa dijangka berterusan sehingga bermulanya musim Monsun Barat Daya pada Jun depan.

Keadaan itu berpunca daripada keadaan atmosfera yang lebih kering serta taburan hujan yang rendah di kebanyakan kawasan di seluruh negara.

Langkah fleksibiliti ini dijangka dapat mengurangkan risiko kesihatan kepada pelajar dan kakitangan universiti sepanjang tempoh fenomena cuaca ekstrem ini berlaku.

+ - reset