TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nurul Izzah nafi letak jawatan Timbalan Presiden PKR

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Mac – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menafikan dakwaan kononnya beliau telah meletakkan jawatan seperti yang tular di media sosial sejak awal pagi tadi.

Beliau menegaskan khabar angin tersebut tidak berasas dan tidak mencerminkan keadaan sebenar dalam kepimpinan parti.

"Saya ingin menjelaskan bahawa dakwaan berhubung peletakan jawatan saya sebagai Timbalan Presiden KEADILAN adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Spekulasi mengenai peletakan jawatan itu sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi, khususnya dalam kalangan anggota parti, susulan penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata beliau kekal komited untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh parti.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa tiada sebarang rombakan dalam struktur kepimpinan tertinggi PKR ketika ini.

"Saya kekal menjalankan amanah ini selaras dengan tanggungjawab dan proses parti, serta tiada sebarang perubahan dalam struktur kepimpinan," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi yang tidak disahkan.

"Saya menghargai keprihatinan semua pihak, dan menggalakkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada kenyataan rasmi parti bagi mendapatkan maklumat yang sahih," katanya.

+ - reset