TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis dedah Victor Chin pernah didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram tahun lalu

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang ahli perniagaan tempatan pernah ditahan bersama sembilan individu lain kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi operasi khas yang dijalankan sebelum ini.

Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM, Datuk Fazlisyam Abdul Majid berkata, kesemua mereka ditahan dalam Op Viking yang dilaksanakan antara 15 Oktober 2025 hingga 13 Januari tahun ini.

Menurut beliau, ahli perniagaan terbabit ditahan pada Disember lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Ini bergantung kepada sebarang bukti baharu yang memerlukan penjelasan lanjut.

“Sebarang panggilan semula akan dilakukan mengikut prosedur standard,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa sebelum ini dilaporkan menyita pelbagai aset termasuk jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai pelbagai mata wang serta dua kenderaan dalam beberapa serbuan di premis yang dikaitkan dengan individu berkenaan.

Serbuan itu merupakan sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap kes pengubahan wang haram, termasuk dakwaan kewujudan rangkaian “mafia korporat” yang sedang disiasat pihak berkuasa.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, turut mengesahkan bahawa dakwaan berkenaan dipandang serius, dengan tindakan penguatkuasaan sedang giat dijalankan.

Selain itu, operasi turut melibatkan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), termasuk serbuan ke atas kediaman dan beberapa premis lain serta penyitaan kenderaan milik syarikat berkaitan.

Terdahulu, Kabinet melalui Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan mengarahkan polis dan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan manipulasi korporat.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti kewangan mencurigakan.

+ - reset