TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gara-gara buat aksi 'gelongsor', kaki budak 10 tahun tersangkut di celah pemegang tangga PPR

By
|
Kongsi
image

KENINGAU 5 April – Hasrat seorang kanak-kanak perempuan untuk mencuba aksi 'gelongsor' di pemegang tangga sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) bertukar tragedi apabila kakinya tersepit dalam kejadian di Taman Anggerik, Jalan Tenom, petang semalam.

Kanak-kanak berusia 10 tahun itu dipercayai cuba meluncur pada bahagian pemegang tangga berkenaan sebelum pergerakannya terhenti akibat kakinya tersangkut di ruang sempit antara besi dan simen sehingga gagal dikeluarkan.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dalam satu hantaran tular di Facebook memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.44 petang sebelum sepasukan lapan anggota bersama jentera FRT dan EMRS bergegas ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi pada jam 3.57 petang, pasukan penyelamat mendapati mangsa berada dalam keadaan trauma dan menangis kesakitan setelah tersepit hampir sejam di kawasan tangga tersebut.

"Bila kami cuba alihkan sedikit kaki untuk lepaskan, mangsa menjerit kesakitan. Akhirnya, kami menggunakan 'kuasa magis sains' iaitu kombinasi minyak masak dan air sabun untuk melicinkan ruang tersebut.

"Dengan sentuhan magis dan kesabaran tinggi, kaki mangsa berjaya diloloskan tanpa mengalami sebarang kepatahan, namun terdapat kesan calar serta lebam," menurut hantaran yang ditulis dengan nada seloroh itu.

Dalam pada itu, BBP Keningau melahirkan kegusaran terhadap 'trend' anggota badan tersekat yang seolah-olah menjadi evolusi dalam kalangan kanak-kanak sekolah selepas kes jari tersangkut pada lubang besi dilaporkan berlaku minggu lalu.

Pihak bomba turut sempat berseloroh bahawa anggota mereka menjalani latihan berbulan-bulan adalah untuk memadam kebakaran dan menyelamatkan nyawa, bukannya untuk membuka 'kaunter unboxing' anggota badan yang tersekat.

Mangsa telah dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital sebagai langkah berjaga-jaga, manakala ibu bapa diingatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

+ - reset