TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PN belum terima permohonan Hamzah sertai parti komponen – Takiyuddin

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 5 April – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan sehingga kini masih belum menerima sebarang permohonan daripada bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menyertai mana-mana parti komponen dalam gabungan tersebut.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sejak meninggalkan Bersatu, Hamzah tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti dan tiada sebarang petunjuk rasmi bahawa beliau telah memohon untuk menyertai wadah politik baharu di bawah payung PN.

Beliau menjelaskan bahawa syarat untuk berada dalam PN memerlukan seseorang itu menjadi ahli kepada salah satu daripada empat parti komponen sedia ada iaitu Pas, Bersatu, Gerakan atau Malaysian Indian People's Party (MIPP).

"Setakat yang kami tahu, beliau tidak berada dalam mana-mana parti. Sehingga hari ini, tiada petunjuk bahawa beliau telah menyertai mana-mana parti dalam PN," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas turut memaklumkan bahawa parti itu juga tidak menerima sebarang permohonan keahlian daripada Hamzah setakat ini dan enggan membuat spekulasi mengenai hala tuju politik tokoh berkenaan.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan keanggotaan PN kekal dengan empat parti sahaja selepas MIC yang sebelum ini dilaporkan berminat untuk menyertai gabungan itu, akhirnya memaklumkan tidak jadi berbuat demikian.

Terdahulu, Hamzah hari ini memberikan bayangan mengenai 'rumah baharu' beliau yang berkemungkinan merupakan sebuah parti sedia ada yang kini berada di dalam gabungan PN.

Kenyataan Takiyuddin ini hadir di tengah-tengah desas-desus mengenai kedudukan politik Hamzah yang sebelum ini merupakan antara tonggak utama dalam kepimpinan Bersatu dan PN sebelum memutuskan untuk keluar daripada parti asalnya itu.

+ - reset