Berita Dunia
Krisis tenaga global: Bangladesh pendekkan waktu bekerja, operasi pasar raya tamat 7 malam
DHAKA 6 April – Kerajaan Bangladesh mula melaksanakan langkah drastik memendekkan waktu bekerja di sektor awam dan swasta bermula semalam sebagai strategi mendepani krisis bekalan tenaga yang meruncing akibat konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Keputusan itu menyaksikan waktu operasi pejabat diselaraskan kepada jam 9 pagi hingga 4 petang, manakala sektor perbankan dipendekkan kepada jam 10 pagi hingga 3 petang bagi mengurangkan penggunaan elektrik secara besar-besaran di seluruh negara.
Setiausaha Bahagian Tenaga dan Sumber Mineral Bangladesh, Monir Hossain Chowdhury memaklumkan, langkah penjimatan itu terpaksa diambil susulan kegagalan mengimport minyak mentah dari Asia Barat sejak lebih sebulan lalu akibat penutupan Selat Hormuz.
"Kita perlu fokus hanya kepada keperluan asas dan penting buat masa ini. Rakyat dinasihatkan supaya berhemat dalam penggunaan bahan api. Jika satu lampu sudah cukup, mengapa perlu menyalakan lima?" katanya dalam satu kenyataan kepada media antarabangsa.
Selain waktu pejabat, kerajaan turut mengarahkan semua pasar raya dan pusat membeli-belah menamatkan operasi seawal jam 7 malam, namun sedikit kelonggaran akan diberikan sempena sambutan Tahun Baharu Bengali pada 14 April ini.
Presiden Persatuan Pemilik Kedai, Mohammad Helal Uddin menyatakan sokongan terhadap inisiatif tersebut dan mengingatkan ahli-ahlinya bahawa kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh mengakibatkan denda yang dipantau ketat oleh pihak polis dan pihak berkuasa elektrik.
"Krisis ini memberi kesan menyeluruh kepada sektor pertanian, pengangkutan dan elektrik. Kita semua mesti mengambil bahagian dalam langkah berjimat ini, sama seperti yang kita lakukan semasa mendepani pandemik COVID-19," jelasnya.
Bangladesh yang mempunyai 170 juta penduduk sangat terdedah kepada gangguan pasaran tenaga global memandangkan negara tersebut bergantung kepada import bagi 95 peratus keperluan tenaga nasionalnya.
Berita berkaitan
October 22, 2026, 1:59 pm
'Mereka selalu anggap masykarat kita kelas kedua', Boy Hamzah dedah kenapa buat video herdik Malaysia
October 21, 2026, 11:25 am
'Dah macam bengkel motor', kilang keropok di Indonesia mula jadi bualan netizen
October 19, 2026, 9:54 pm
Paderi maut ditimpa kayu salib ketika 'live' di gereja
October 17, 2026, 6:07 pm
Jerebu cetus tahap amaran tertinggi di Asia Tenggara
October 17, 2026, 1:39 pm
Indonesia rekod 354 titik panas, kualiti udara kekal membimbangkan
October 17, 2026, 10:43 am
Asap kebakaran hutan Kalimantan dah sampai Jakarta
October 16, 2026, 6:31 pm
Wanita jatuh tebing lepas baring atas batu sungai
October 15, 2026, 12:37 pm
Hutan hijau terus dibakar lagi bagai tiada penyesalan di Indonesia
October 15, 2026, 12:19 pm
Pelajar, guru pakai tudung dilarang masuk sekolah di Azerbajian
October 15, 2026, 10:23 am
