TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suspek langgar lari anggota trafik, polis di Jalan Cheras hidap skizofrenia ditahan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 14 April – Suspek kes langgar lari membabitkan seorang anggota polis trafik pada 10 April lalu berjaya diberkas selepas dikejar dalam satu operasi dramatik dari Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin, petang semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, suspek dikesan kira-kira jam 3.45 petang oleh anggota Unit Kawalan Lalu Lintas, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) hasil risikan serta semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Menurutnya, cubaan menahan kenderaan itu gagal apabila pemandu bertindak meloloskan diri secara berbahaya, termasuk melanggar beberapa kenderaan sepanjang kejaran.

"Sepanjang operasi, polis trafik membuka laluan bagi mengelakkan kemalangan lebih serius serta mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain.

"Dalam cubaan melarikan diri, suspek melanggar beberapa kenderaan awam termasuk Mercedes Benz dan Proton Saga serta beberapa kenderaan lain yang masih belum membuat laporan polis.

"Turut berlaku kerosakan ke atas sebuah kenderaan MPV polis yang menyertai operasi itu," katanya dalam kenyataan.

Suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun itu akhirnya berjaya diberkas dengan bantuan Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan IPD Brickfields di lokasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada barang salah ditemui manakala ujian pernafasan alkohol menunjukkan keputusan negatif.

"Suspek akan menjalani ujian saringan air kencing bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Fadil turut mendedahkan bahawa suspek merupakan seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor yang sedang menjalani cuti perubatan khas dan dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan.

"Suspek juga disahkan mempunyai masalah kesihatan mental iaitu skizofrenia dan sedang menerima rawatan berkaitan," katanya.

Dalam kejadian pada 10 April lalu, mangsa, Konstabel Roslan Salleh, 27, dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Perodua Axia ketika sedang mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning di Jalan Sultan Yahya Petra menghala ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

Mangsa mengalami kecederaan di tapak tangan kanan, belakang kepala serta sakit di bahagian rusuk sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Pemandu terbabit bagaimanapun melarikan diri tanpa memberikan bantuan.

Setakat ini, tujuh kenderaan telah tampil membuat laporan polis membabitkan lima kereta awam, sebuah MPV polis dan sebuah motosikal milik pegawai polis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di talian 019-4482852 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di 03-2026 0267 atau 0269.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

+ - reset