TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu riba 'awek' ketika memandu bas ekspres dipecat serta-merta, syarikat mohon maaf

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 13 April  — Pemandu bas ekspres yang tular kerana didakwa memandu dengan seorang wanita duduk di atas ribanya ditamatkan perkhidmatan serta-merta oleh Sri Maju Group.

Dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook hari ini, syarikat itu mengesahkan individu terbabit adalah pekerjanya dan menyifatkan insiden berkenaan sebagai amat mengecewakan, membimbangkan serta tidak boleh diterima.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku dalam bas ekspres milik syarikat berkenaan yang beroperasi dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Larkin, Johor Bahru, semalam.

“Perkhidmatan pemandu berkenaan bersama Sri Maju Group sudah ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

“Insiden itu juga telah dilaporkan kepada polis dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan kami memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah penambahbaikan, syarikat itu memaklumkan sistem pengawasan video telah dipasang pada bas baharu dan sedang dipercepatkan pemasangannya pada bas sedia ada yang belum dilengkapi kemudahan tersebut.

Dalam pada itu, syarikat berkenaan turut memohon maaf tanpa syarat kepada penumpang dan orang awam, sambil menegaskan keselamatan serta keselesaan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan.

“Tingkah laku tersebut merupakan pelanggaran serius terhadap prosedur operasi standard serta bertentangan dengan etika profesional pemandu kami.

“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang boleh membahayakan nyawa penumpang,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia mengesahkan telah mengenal pasti pemandu dan syarikat terbabit, selain memanggil individu berkenaan untuk dirakam keterangan bagi tindakan lanjut.

+ - reset