Berita Berita
Pelajar perempuan cedera di leher ditendang rakan lelaki dari belakang di padang sekolah
JOHOR BAHRU 14 April - Seorang pelajar perempuan mendakwa mengalami kecederaan pada bahagian leher selepas ditendang dan ditolak oleh seorang pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini, Jumaat lalu.
Mangsa berusia 17 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul berkata, kejadian berlaku kira-kira tengah hari ketika dia bersama rakan berjalan di padang sekolah sebelum dihampiri seorang pelajar lelaki yang tidak dikenali.
Menurutnya, selepas bertanyakan sesuatu, pelajar lelaki terbabit bertindak menendangnya dari belakang sehingga dia terjatuh dan kepalanya terkena kayu.
“Akibatnya lutut saya cedera dan apabila bangun semula, lelaki itu menendang lagi dan memegang pinggang serta menolak saya hingga terjatuh.
“Akibatnya saya berasa pening sebelum dibawa ke bilik rawatan sekolah dan muntah berulang-kali di situ,” katanya.
Tambahnya, selepas dibenarkan pulang, dia hampir rebah di jejantas berhampiran sekolah sebelum dibantu rakan yang membawanya ke rumah berdekatan dan menghubungi bapanya.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut Nurul, sejak empat hari lalu dia menerima rawatan di hospital berkenaan dan masih mengalami kesakitan di bahagian belakang leher sehingga menyukarkan pergerakan harian.
“Doktor menyatakan saya mengalami koyakan ligamen, namun tiada tulang patah.
“Namun sehingga kini saya masih mengalami kesakitan serta bimbang ia akan meninggalkan kesan jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa berusia 41 tahun meluahkan rasa terkilan terhadap kejadian tersebut dan berharap pihak pengurusan sekolah serta Jabatan Pendidikan Negeri mengambil tindakan sewajarnya.
Beliau turut membuat laporan di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Berita berkaitan
April 14, 2026, 2:02 pm
Diskaun 30 peratus naik ETS, galak rakyat berjimat guna pengangkutan awam - Loke
April 14, 2026, 1:12 pm
'Tak mampu lagi tanggung semua' - Khidmat van jenazah percuma terjejas kenaikan harga diesel
April 14, 2026, 10:29 am
Bekalan diesel cukup, hanya beberapa gangguan terpencil berpunca daripada isu logistik – Armizan
April 14, 2026, 10:27 am
Asyraf kesal sijil, ganjaran pelajar cemerlang spm ditahan sekolah kerana tunggakan yuran PIBG
April 14, 2026, 10:21 am
Lelaki mengaku hamilkan kekasih hingga bersalin dalam serbuan JAINJ di kluang
April 14, 2026, 10:10 am
Ustazah rempuh pelajar hingga maut depan surau sekolah berdepan penjara 10 tahun
April 14, 2026, 10:01 am
Pejabat Menteri Pertanian nafikan Mohamad Sabu galak tanam ganja di rumah
April 14, 2026, 9:58 am
