TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki mengaku hamilkan kekasih hingga bersalin dalam serbuan JAINJ di kluang

By
|
Kongsi
image

KLUANG 14 April – Seorang lelaki berusia 20-an membuat pengakuan mengejut bahawa dia merupakan bapa kepada bayi berusia tiga bulan hasil hubungan luar nikah bersama seorang janda selepas ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), malam kelmarin.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 11.30 malam itu mensasarkan sebuah rumah di kawasan terpencil selepas pihak berkuasa menerima aduan orang awam mengenai pasangan kekasih yang tinggal bersama seperti suami isteri sejak setahun lalu.

Jurucakap JAINJ memaklumkan bahawa anggota penguat kuasa terpaksa menunggu kira-kira lima minit sebelum pintu rumah dibuka oleh suspek lelaki yang hanya berseluar pendek tanpa berbaju sebelum menemui seorang wanita sedang mengendong bayi di atas tilam dalam keadaan rumah yang gelap.

Hasil soal siasat mendapati pasangan tersebut bukan pasangan suami isteri yang sah, malah lelaki terbabit mengaku telah beberapa kali melakukan hubungan seksual di rumah tersebut sehingga menyebabkan wanita berkenaan mengandung dan melahirkan anak tidak sah taraf.

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa wanita tersebut mempunyai anak hasil perkahwinan terdahulu yang kini dijaga oleh keluarganya, manakala bayi berusia tiga bulan itu disahkan memiliki sijil lahir tanpa maklumat bapa.

Pasangan tersebut menyatakan hasrat untuk bernikah namun memberi alasan terdapat beberapa urusan peribadi yang belum diselesaikan sehingga menyebabkan mereka memilih untuk terus bersekedudukan tanpa ikatan yang sah.

Tindakan pasangan itu yang mengasingkan diri daripada penduduk setempat gagal menyembunyikan perbuatan mereka apabila masyarakat sekitar tetap berjaya menghidu aktiviti tidak bermoral berkenaan sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Kedua-dua suspek kini ditahan dan bakal berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 23 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berzina yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000, penjara tiga tahun atau enam sebatan jika sabit kesalahan.

+ - reset