TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Diskaun 30 peratus naik ETS, galak rakyat berjimat guna pengangkutan awam - Loke

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 14 April – Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan Malaysia menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus bagi pembelian tiket tren elektrik (ETS) semua sektor serta Ekspres Rakyat Timuran (ERT) sebagai usaha meringankan beban kos perjalanan rakyat.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu melibatkan semua sektor ETS serta laluan JB Sentral – Tumpat – JB Sentral bagi perkhidmatan ERT.

Menurutnya, tawaran tersebut hanya terpakai bagi perjalanan pada hari Isnin hingga Khamis sebagai langkah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Inisiatif ini ditawarkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkasakan penggunaan pengangkutan awam melalui perkhidmatan kereta api yang lebih selesa, selamat dan efisien kepada rakyat,” katanya pada Sidang Media Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di sini, hari ini.

Tambah beliau, langkah itu juga bertujuan mengurangkan kos perjalanan serta meningkatkan mobiliti rakyat di samping menyokong agenda pengangkutan awam yang lebih mampan.

“Tawaran ini juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat memilih pengangkutan rel sebagai mod utama, sekali gus membantu mengurangkan kos perjalanan dan meningkatkan mobiliti,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, diskaun tersebut tidak terpakai semasa musim cuti sekolah dan cuti umum bagi memastikan pengurusan kapasiti tren dapat dilaksanakan dengan lebih efisien ketika permintaan tinggi.

“Orang ramai boleh membeli tiket menggunakan kod promosi yang akan diumumkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad bermula esok hingga 30 April ini,” katanya.

Namun, tegas beliau, diskaun itu tidak melibatkan tiket kelas perniagaan ETS, kelas satu serta tempat tidur bagi ERT, selain tidak terpakai kepada pemegang tiket konsesi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Express Rail Link turut memperkenalkan inisiatif bersasar menerusi MyPutrajaya Monthly Travel Card (MTC) dan MyKLIA Monthly Travel Card.

Katanya, MyPutrajaya MTC ditawarkan khusus kepada penjawat awam terutama yang bekerja atau menetap di Putrajaya, manakala MyKLIA Monthly Travel Card pula dikhaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Lapangan Terbang KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

“Melalui inisiatif ini, pengguna boleh menikmati diskaun sehingga 90 peratus berbanding tambang biasa bergantung kepada sektor perjalanan,” katanya.

+ - reset