TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tak mampu lagi tanggung semua' - Khidmat van jenazah percuma terjejas kenaikan harga diesel

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 14 April – Kenaikan harga diesel tanpa subsidi kepada RM6.72 seliter ketika ini mula memberi kesan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan jenazah dan ambulans komuniti, sekali gus menjejaskan kemampuan mereka meneruskan perkhidmatan percuma kepada masyarakat.

Menerusi perkongsian di media sosial, seorang sukarelawan, Ahmad Nazrul daripada Pertubuhan Amal Komuniti Besut by JNZA Gaung Global berkata, beberapa NGO pengurusan jenazah kini terpaksa mengambil langkah meminta waris menanggung sebahagian kos bahan api bagi penghantaran jenazah.

“Jika dulu, ia adalah perkhidmatan percuma sahaja dan waris tidak perlu membayar hatta satu sen pun, walaupun perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan atau dari Terengganu ke Johor Bahru.

“Kebanyakan van jenazah mereka adalah Toyota Hiace dan juga Hyundai Starex menggunakan minyak diesel. Kenaikan harga minyak terkini tidak mampu lagi pertubuhan mereka tanggung sepenuhnya,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan pertubuhan terbabit tidak mempunyai dana besar seperti sesetengah NGO lain, sebaliknya bergantung kepada sumbangan awam dan komitmen pengasas.

“Pertubuhan ini bergerak dengan sedikit dana awam dan selebihnya ditanggung oleh pengasas pertubuhan tersebut. Pertubuhan kami setakat hari ini masih mampu menangung kos petrol van jenazah dan ambulans.

“Baru sekejap tadi saya isi RM150 minyak dan dapat 35 liter sahaja. Untuk full tank (tangki penuh) 65 liter, saya perlu bayar RM277,” katanya.

Tambah Ahmad Nazrul, pihaknya kini dalam proses memohon kad armada (fleet card) yang dijangka membolehkan mereka menerima sekitar 800 liter subsidi sebulan.

“Angka itu terlalu kecil sebenarnya jika nak dibandingkan dengan pergerakan ambulans dan van jenazah kami setiap hari. Purata pergerakan 11 van jenazah dan empat ambulans pertubuhan kami adalah lebih 8,000 kilometer sebulan.

“Ini termasuk pergerakan harian empat ambulans dari pagi untuk ambil pesakit terlantar dan hantar ke hospital bagi temu janji, manakala pada sebelah petang dan malam untuk proses keluar dari wad dan pulang ke rumah,” katanya.

Beliau berkata, bagi penghantaran jenazah jarak jauh, perjalanan boleh mencecah antara 700 hingga 1,000 kilometer bagi perjalanan pergi dan balik.

“Mari kita sama-sama berdoa agar konflik perang ini berakhir dengan segera dan NGO yang menguruskan jenazah secara percuma boleh kembali menguruskan jenazah 100 peratus secara percuma semula,” katanya.

Terdahulu, harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 hingga 15 April meningkat kepada RM6.72 seliter berbanding RM6.02 sebelum ini.

Kementerian Kewangan memaklumkan, harga RON97 tanpa subsidi turut meningkat kepada RM5.35 seliter manakala RON95 kepada RM4.27 seliter.

Kenaikan harga bahan api itu dikaitkan dengan lonjakan harga minyak mentah global sejak beberapa minggu lalu susulan krisis tenaga di Asia Barat yang meningkatkan kos petroleum serta kos berkaitan termasuk logistik dan insurans.

+ - reset