TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Budak 3 tahun maut, patah paha disyaki mangsa dera, tiga suspek termasuk bapa angkat ditahan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA TERENGGANU 14 April – Polis menahan tiga individu termasuk bapa angkat bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan yang dipercayai menjadi mangsa dera, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, tangkapan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payong.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri, tiada degupan jantung dan tiada tindak balas anak mata.

“Pemeriksaan fizikal turut menemukan kesan lebam serta luka pada dada dan paha kiri, manakala paha kanan mangsa mengalami bengkak yang serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan komplikasi iskimia anggota badan akut.

“Kecederaan patah tulang paha telah menekan otot dan salur darah utama. Komplikasi ini menjadi parah apabila mangsa tidak menerima rawatan dengan segera,” ujarnya.

Azli berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Banggol Katong sejak kira-kira tiga bulan lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati salah seorang suspek iaitu bapa angkat mangsa mempunyai 11 rekod jenayah lampau dan positif methamphetamine,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama enam hari sehingga 19 April bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

+ - reset