TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPNS siasat dakwaan sijil SPM ditahan sebab tak bayar yuran PIBG

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 15 April - Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memandang serius dakwaan penahanan sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Senawang susulan tunggakan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang tular di aplikasi TikTok.

Pengarah JPNS, Khalidah Omar berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung insiden tersebut.

"JPNS mengambil maklum berhubung kandungan tular di platform TikTok berkaitan dakwaan penahanan sijil seorang pelajar.

"Kita memandang serius perkara ini dan telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan menyeluruh," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau menegaskan bahawa pihak sekolah tidak dibenarkan menahan sijil atau dokumen rasmi murid atas alasan kegagalan membuat sumbangan PIBG kerana ia bersifat sukarela.

Ini kerana ujarnya, sumbangan PIBG tidak boleh dijadikan syarat dalam sebarang urusan melibatkan murid.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada siasatan dijalankan.

"JPNS akan terus memperkukuh aspek pemantauan dan memberi peringatan kepada semua pentadbir sekolah agar sentiasa mematuhi garis panduan serta peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan murid sentiasa menjadi keutamaan, selaras dengan aspirasi sistem pendidikan yang adil, inklusif dan berfokuskan kesejahteraan murid," katanya.

Terdahulu, tular di TikTok mengenai dakwaan seorang individu yang mendakwa sijil SPM milik adik sepupunya yang memperoleh keputusan 9A ditahan pihak sekolah kerana tunggakan yuran PIBG.

Individu itu mendakwa pelajar berkenaan hanya menerima sampul kosong tanpa sijil rasmi ketika dipanggil ke pentas sempena majlis anugerah, selain hadiah wang tunai RM250 turut ditahan sementara.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Asyraf Wajdi Dusuki turut meluahkan rasa kesal terhadap kejadian tersebut.

"Tidak perlulah sampai duit dan sijil kecemerlangan ditahan kerana tunggakan yuran PIBG.

"Hidup ini kena ada nilai ihsan dan kemunasabahan pertimbangan akal (common sense), barulah semua hidup dalam berkat dan sejahtera," katanya.

+ - reset