Berita Berita
Pemandu ugut bakar kenderaan selepas kantoi cukai jalan tamat 8 tahun
ALOR GAJAH 17 April – Seorang lelaki bertindak agresif dengan mengugut mahu membakar kenderaan pacuan empat roda miliknya selepas cuba disita oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam satu operasi di Lebuh Rembia, kelmarin.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pemandu berusia 29 tahun itu pada mulanya memberikan kerjasama yang baik, namun keadaan bertukar tegang sebaik sahaja dia dimaklumkan bahawa kenderaannya akan disita.
Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit melakukan beberapa kesalahan serius, antaranya tidak memiliki lesen memandu yang sah serta kenderaan tersebut tidak mempunyai perlindungan insurans.
Lebih mengejutkan, semakan lanjut mengesahkan cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan pacuan empat roda berkenaan sudah tamat tempoh dan tidak diperbaharui selama lapan tahun.
Ketika proses sitaan dijalankan, lelaki itu bertindak menghubungi rakannya untuk mendapatkan petrol bagi tujuan membakar kenderaan tersebut sebagai tanda protes terhadap tindakan penguatkuasaan.
Situasi menjadi semakin provokatif apabila seorang penumpang yang juga rakan suspek turut campur tangan dengan melemparkan ugutan serta mendakwa dirinya merupakan seorang bekas tahanan.
Bagaimanapun, tindakan profesional dan pendekatan berhemah anggota JPJ yang bertugas berjaya meredakan kemarahan kedua-dua individu terbabit tanpa melibatkan sebarang kejadian tidak diingini.
Kedua-dua individu akhirnya akur dengan tindakan undang-undang yang diambil dan kenderaan terbabit kini telah dibawa ke depoh sita JPJ Melaka untuk tindakan lanjut.
Siti Zarina menegaskan bahawa JPJ akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan secara tegas dan berintegriti tanpa tunduk kepada sebarang bentuk provokasi demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Berita berkaitan
April 17, 2026, 10:50 am
Remaja maut kereta bertembung lori di Jalan Kota Tinggi-Kluang
April 17, 2026, 10:36 am
MCW puji kerjasama SPRM-Lembaga Seni Visual pelihara karya seni 1MDB
April 17, 2026, 10:32 am
JKM Pulau Pinang kesan ibu kandung Amanda Mikayla
April 17, 2026, 10:25 am
Kenaikan kos bahan api, KLM batal 160 penerbangan bulan depan
April 17, 2026, 9:39 am
Eropah sahkan bekalan api jet hanya cukup untuk enam minggu - IEA
April 16, 2026, 11:17 pm
