TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Zakat Selangor nafi terlibat penyelewengan dana NGO RM230 juta

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 April – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menegaskan bahawa institusi tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes penyelewengan dana kira-kira RM230 juta melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari memaklumkan bahawa pengurusan zakat di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sentiasa tertakluk kepada sistem tadbir urus dan kawal selia yang ketat termasuk melalui pelbagai lapisan audit dalaman serta luaran bagi memastikan dana diuruskan secara teratur.

Beliau menjelaskan bahawa institusi itu mengekalkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk salah guna dana dan meminta orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap integriti pengurusan zakat di negeri tersebut.

Kenyataan ini selari dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki yang melaporkan bahawa penyelewengan tersebut sebenarnya melibatkan sumbangan daripada pelbagai pihak kepada NGO berkenaan dan bukannya bersumberkan dana daripada mana-mana institusi zakat di negara ini.

Terdahulu seorang timbalan pengerusi NGO antara tiga individu yang ditahan SPRM selepas disyaki terlibat dalam penyelewengan dana tersebut yang mana sebahagian daripada wang berkenaan didakwa merupakan kutipan yang sepatutnya disalurkan kepada badan zakat negeri namun telah disalahgunakan bagi tujuan lain.

+ - reset