TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Inisiatif BDR jimat RM1.9 juta subsidi petrol dalam tempoh 10 hari

By
|
Kongsi
image

KLUANG 1 Mei – Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) berjaya mencatatkan penjimatan subsidi petrol RON95 sebanyak RM1.9 juta, yang menyamai 979,632 liter dalam tempoh 10 hari pelaksanaannya sejak 15 April lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memaklumkan bahawa penjimatan tersebut secara puratanya melibatkan 120,816 liter petrol atau RM239,215.68 bagi setiap hari.

Beliau menyifatkan angka tersebut sebagai sumbangan signifikan daripada penjawat awam dalam membantu kerajaan menangani bebanan kewangan kesan daripada krisis yang berlaku di Asia Barat.

Setakat semalam, jumlah penjawat awam yang terlibat dalam pelaksanaan BDR telah meningkat kepada 20,136 orang berbanding hanya 15,452 orang pada hari pertama pelaksanaannya.

Wan Ahmad Dahlan turut memberi jaminan bahawa kualiti perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas memandangkan tugasan yang terlibat hanyalah kerja yang tidak memerlukan kehadiran fizikal di pejabat.

Pelaksanaan BDR buat masa ini tidak dijalankan pada hari Isnin bagi tujuan penyelarasan tugasan, manakala hari Jumaat dikhaskan untuk sesi penilaian produktiviti kerja oleh ketua jabatan masing-masing.

Langkah strategik BDR selama tiga hari seminggu ini dilaksanakan bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara mendepani krisis bekalan global susulan ketidaktentuan konflik di rantau Asia Barat.

Terdahulu, beliau meluangkan masa menziarahi tiga pesara uzur di sekitar daerah ini bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan peralatan kesihatan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan golongan berkenaan.

+ - reset