Berita Berita
Polis rampas rotan disyaki senjata serang anggota komando hingga retak tengkorak, dua anggota ditahan
JOHOR BAHRU 30 April – Polis mengesahkan merampas sebatang rotan dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian yang menyebabkan seorang anggota komando cedera parah di Kem Iskandar bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.30 malam pada 14 Mac lalu melibatkan penggunaan kekerasan di kem berkenaan.
Menurutnya, mangsa berusia 25 tahun mengalami kecederaan serius termasuk retak pada tengkorak kepala serta pendarahan dalam otak dan kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
“Bertindak atas maklumat pada hari sama kira-kira jam 11.45 malam, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mersing menahan dua anggota tentera berusia 24 tahun dari kem sama kerana disyaki terbabit dalam kes ini.
“Polis turut merampas sebatang rotan sepanjang 72 sentimeter yang dipercayai digunakan sebagai senjata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif bagi sebarang jenis dadah.
Beliau berkata, siasatan kes telah lengkap dan kertas siasatan dirujuk kepada pihak pendakwaan negeri pada 28 April lalu bagi tindakan lanjut oleh Jabatan Peguam Negara.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, mangsa, Abdul Hamid Talib, 25, dilaporkan cedera parah ketika berada di kem berkenaan pada 12 Mac lalu.
Anggota dari Tentera Darat Malaysia itu kini tidak mampu bercakap, bergantung kepada alat bantuan pernafasan serta menerima nutrisi melalui tiub susulan kecederaan serius di bahagian kepala.
Susulan kejadian, Tentera Darat Malaysia turut menjalankan siasatan dalaman berhubung kes berkenaan, manakala orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis.
Berita berkaitan
April 30, 2026, 8:51 pm
KESUMA jamin kebajikan pekerja kekal terpelihara hadapi ketidaktentuan global
April 30, 2026, 6:59 pm
DAPSY 'menekan', Akmal Salleh cabar pecat semua menteri UMNO, bukan Tok Mat sahaja
April 30, 2026, 4:18 pm
Muhammad Gaddafi Musli dilantik CEO baharu SSDU bermula 4 Mei
April 30, 2026, 2:24 pm
10 rakyat Malaysia termasuk ZRA sertai misi GSF 2.0 ditahan Israel di Perairan Crete
April 30, 2026, 10:35 am
