TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

HKL jelaskan situasi jabatan kecemasan tular sedang dalam proses naik taraf

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 1 Mei – Hospital Kuala Lumpur tampil menjelaskan bahawa keadaan Jabatan Kecemasan dan Trauma yang tular digambarkan seperti zon perang sebenarnya berpunca daripada projek naik taraf yang sedang dijalankan dan dijangka siap pada akhir tahun ini.

Pengarah HKL, Datuk Dr. Harikrishna K.R Nair, memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum serta prihatin terhadap perkongsian media sosial tersebut yang menyentuh mengenai fasiliti di jabatan berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa projek tersebut merupakan perancangan strategik pihak hospital bagi menampung kapasiti pesakit yang semakin bertambah demi menjamin keselesaan rakyat yang mendapatkan rawatan.

Sepanjang tempoh pembinaan berlangsung, jabatan tersebut terpaksa beroperasi di kawasan yang mengecil sebanyak 50 peratus manakala baki ruang lagi digunakan sepenuhnya bagi laluan kerja-kerja menaik taraf.

Pihak hospital menegaskan bahawa perkhidmatan kesihatan masih diteruskan seperti biasa dengan mengamalkan prinsip tiada pintu yang salah bagi memastikan setiap pesakit tetap menerima rawatan yang diperlukan.

Segala infrastruktur yang kelihatan uzur di lokasi berkenaan disahkan bersifat sementara sahaja kerana proses ubah suai sedang dilakukan bagi menyokong kelancaran projek pembangunan tersebut.

Bagi meningkatkan keselesaan pelanggan, bilangan kerusi untuk pesakit dan waris akan ditambah mengikut kapasiti khemah menunggu sedia ada sementara menunggu projek tersebut disiapkan sepenuhnya.

Pihak pengurusan HKL turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan masyarakat dan sentiasa bersikap terbuka dalam menerima sebarang cadangan bagi menambah baik kualiti perkhidmatan mereka.

+ - reset