Berita Berita
'Nama jalan di Pulau Pinang ditukar kepada Persiaran Chin Fung Kee demi kenang jasa tokoh, bukan perkauman' - Zairil
GEORGE TOWN 1 Mei - Enam jalan di Pulau Pinang dinamakan semula sebagai penghargaan kepada tokoh-tokoh yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
Antara jalan terlibat ialah Persiaran Chin Fung Kee (sebelum ini Persiaran Pantai Sinaran), Jalan Sheikh Ibrahim (sebahagian Jalan Tanjong Tokong Lama), Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Lebuhraya Bandar Cassia), Jalan SA Abdullah Bukhari (sebahagian Jalan Ayer Itam), Solok Dato Ismail Hashim (sebahagian Jalan Tengah) serta Jalan M Kuppan (sebelum ini Jalan Jiran 1).
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, langkah itu mencerminkan usaha kerajaan negeri dalam mengiktiraf sumbangan tokoh berkenaan yang berjasa sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.
"Penamaan semula jalan tidak seharusnya dipolitikkan apatah lagi dikaitkan dengan sentimen perkauman yang kini tular di media sosial.
"Semua individu yang dipilih adalah berdasarkan merit dan sumbangan mereka kepada masyarakat serta pembangunan negeri," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Zairil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Negeri Nama Geografi berkata, semua nama yang diberikan merupakan tokoh tersohor yang telah mencurah bakti kepada Pulau Pinang dan Malaysia secara keseluruhan.
“Justeru, tidak timbul soal perbandingan atau polemik yang tidak berasas.
"Mereka yang dipilih ini sememangnya layak diberikan penghormatan sedemikian,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat perlu melihat isu berkenaan secara lebih matang dan rasional tanpa dipengaruhi naratif sempit.
“Sentimen serta naratif perkauman yang dimainkan di media sosial adalah tidak sihat dan tidak mencerminkan semangat perpaduan yang kita junjung.
“Kita seharusnya menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh ini, bukannya mempertikaikan keputusan yang dibuat,” ujarnya.
Sebelum ini, Persiaran Pantai Sinaran di kawasan pembangunan The Light City kini dikenali sebagai Persiaran Chin Fung Kee bagi menghargai sumbangan besar mendiang Chin Fung Kee kepada pembangunan Pulau Pinang.
Penamaan semula jalan sepanjang kira-kira 800 meter itu dibuat susulan permohonan rasmi oleh The Institution of Engineers Malaysia bagi menghargai jasa tokoh berkenaan yang memainkan peranan penting dalam projek infrastruktur mega di negeri itu.
Zairil berkata, pemilihan lokasi jalan berhampiran Jambatan Pulau Pinang itu amat simbolik memandangkan mendiang Fung Kee merupakan antara jurutera kanan yang terlibat dalam pembinaan jambatan pertama tersebut.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 1:51 pm
HKL jelaskan situasi jabatan kecemasan tular sedang dalam proses naik taraf
May 1, 2026, 1:42 pm
Kerajaan sasar gaji median RM3,500 menjelang 2030
May 1, 2026, 1:32 pm
Anwar beri tempoh dua minggu lapor pelaksanaan inisiatif Hari Pekerja 2026
May 1, 2026, 8:38 am
Kegagalan sistem brek punca trak ATM hilang kawalan rempuh Plaza Tol Bukit Teratai
May 1, 2026, 8:17 am
Inisiatif BDR jimat RM1.9 juta subsidi petrol dalam tempoh 10 hari
May 1, 2026, 8:11 am
