Berita Berita
Baru dihantar keluarga sambung semester, gadis ditemui maut dengan 61 kesan tikaman di kawasan sawah padi di Ketereh
KOTA BHARU 1 Mei – Hasrat sebuah keluarga melihat anak gadis menyambung pengajian bertukar tragedi apabila mangsa ditemui maut dengan 61 kesan tikaman di kawasan sawah padi di Kampung Simah, Ketereh, tengah malam tadi.
Mangsa, Nurfisya Zulkifly, 19, yang juga penuntut Kolej Poly-Tech MARA, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan dari muka hingga ke kaki.
Abang mangsa, Mohd Faris Zulkifly, 21, berkata keluarganya menerima panggilan daripada polis kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi memaklumkan adiknya telah meninggal dunia.
"Baru Sabtu minggu lalu kami hantar adik menyambung semester baharu, tetapi hari ini kami terima berita yang sangat pilu.
"Ketika itu, saya hanya dengar polis beritahu adik sudah meninggal dunia dan selepas itu tidak sanggup untuk mengetahui maklumat lanjut sebelum saya memutuskan panggilan.
"Tidak berlengah, kami sekeluarga terus bertolak dari Kuala Kangsar, Perak ke Kelantan dan jam 8 malam kami tiba di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
"Baru Sabtu lalu kami datang (Kelantan) menghantarnya untuk memulakan semester baharu dan tak sangka berita sebegini yang kami terima," katanya ketika ditemui malam ini.
Terdahulu, mangsa ditemukan penduduk kampung kira-kira jam 12.30 malam di kawasan jalan Kampung Simah, Ketereh dalam keadaan berlumuran darah.
Mangsa mengalami kecederaan bermula dari bahagian muka hingga kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu pada bahagian kanan badan.
Mohd Faris berkata, keluarganya pada mulanya tidak mengetahui kejadian sebenar sebelum membaca laporan berita dalam talian ketika tiba di Jeli petang tadi.
Katanya, sebaik mengetahui adiknya maut akibat ditikam, ibu dan bapanya tidak dapat menahan kesedihan dan menangis tanpa henti.
"Kami hanya tahu yang adik maut ditikam ketika dalam perjalanan datang ke sini (Kelantan) petang tadi selepas membaca berita dalam talian, memang sangat terkejut," katanya.
Menurutnya, tiada sebarang perubahan pelik ditunjukkan mangsa sebelum kejadian, namun ketika pulang bercuti ke Perak baru-baru ini adiknya teringin menikmati pelbagai makanan kegemaran termasuk ayam penyet.
"Adik juga ada memberitahu impian untuk memiliki kereta Mini Cooper dan berhasrat untuk membeli sebaik tamat pengajian dan mendapat pekerjaan nanti.
"Adik baru memasuki semester ketiga dan tempoh pengajiannya adalah tujuh semester semuanya, dia ada memberitahu untuk memiliki kereta Mini Cooper sebaik kerja nanti.
"Kami sekeluarga berharap pelaku dapat ditangkap secepat mungkin dan dihukum dengan hukuman yang setimpal," katanya yang juga bekas penuntut kolej sama seperti mangsa.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 1:51 pm
HKL jelaskan situasi jabatan kecemasan tular sedang dalam proses naik taraf
May 1, 2026, 1:42 pm
Kerajaan sasar gaji median RM3,500 menjelang 2030
May 1, 2026, 1:32 pm
Anwar beri tempoh dua minggu lapor pelaksanaan inisiatif Hari Pekerja 2026
May 1, 2026, 8:38 am
Kegagalan sistem brek punca trak ATM hilang kawalan rempuh Plaza Tol Bukit Teratai
May 1, 2026, 8:17 am
Inisiatif BDR jimat RM1.9 juta subsidi petrol dalam tempoh 10 hari
May 1, 2026, 8:11 am
