TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bayi lima bulan maut kemalangan, pemandu lori positif dadah ditahan

By
|
Kongsi
image

BALING 8 Mei – Seorang bayi lelaki berusia lima bulan maut dalam kemalangan menyayat hati melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori di hadapan simpang Kampung Sadek, Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe, memaklumkan pihak polis menerima laporan mengenai kematian bayi tersebut daripada Hospital Baling pada jam 12.20 tengah malam tadi selepas mangsa gagal diselamatkan ketika menerima rawatan kecemasan.

Siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 malam itu melibatkan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki sepasang suami isteri bersama bayi mereka, serta sebuah lori.

Kereta berkenaan dipandu lelaki berusia 27 tahun dari arah Gerik menghala ke Kupang, manakala lori dipandu lelaki berusia 43 tahun dari arah Kelantan menghala ke Pulau Pinang.

Ibu bapa mangsa yang masing-masing berusia 41 dan 27 tahun turut mengalami kecederaan dan kini sedang dirawat di Hospital Baling.

Susulan kejadian itu, pemandu lori terbabit telah ditahan selepas saringan awal ujian air kencing mendapati suspek positif dadah. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian atau kecederaan akibat memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

+ - reset