TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki warga emas maut, isteri parah dipukul penyamun, suspek dicekup beberapa jam selepas kejadian di Lumut

By
|
Kongsi
image

 

LUMUT 8 Mei - Seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun maut selepas dipercayai dipukul dalam kejadian samun di kediamannya di Jalan Melayu, Ayer Tawar dekat Sitiawan semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa bersama isterinya dilaporkan diserang seorang lelaki sehingga kedua-duanya mengalami kecederaan serius akibat dipukul menggunakan objek keras.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian samun tersebut melalui Balai Polis Ayer Tawar.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati sepasang suami isteri warga emas telah diserang suspek seorang lelaki di rumahnya sehingga kedua-dua mangsa mengalami kecederaan yang serius akibat dipukul oleh objek keras.

“Suspek telah melarikan dua unit telefon bimbit serta beg duit milik mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, jiran mangsa yang terdengar bunyi bising kemudian datang membantu sebelum membawa pasangan warga emas itu ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan.

“Namun mangsa lelaki telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan dan ‘post-mortem’ akan dijalankan untuk mengesahkan punca kematian.

“Hasil maklumat dan risikan, pada hari yang sama kira-kira pukul 7.45 malam, sepasukan polis daripada cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung berjaya menangkap suspek seorang lelaki India berumur 27 tahun bersama barang milik mangsa,” katanya.

Hasbullah Abd Rahman berkata, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 394 Kanun Keseksaan.

“Saksi atau orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil hadir ke IPD Manjung.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 atau hotline WhatsApp 017-682 8005 bagi membantu siasatan,” katanya.

+ - reset