TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Baru 3 hari angkat sumpah KM Tamil Nadu, Vijay Thalapathy arah tutup 717 kedai arak berhampiran sekolah, rumah ibadat

By
|
Kongsi
image

 

CHENNAI 12 Mei – Ketua Menteri Tamil Nadu, C. Joseph Vijay mengarahkan penutupan 717 premis arak milik Tamil Nadu State Marketing Corporation (TASMAC) yang beroperasi berhampiran rumah ibadat, institusi pendidikan dan terminal bas di seluruh negeri itu dalam tempoh dua minggu.

Arahan itu diumumkan dalam mesyuarat khas kerajaan negeri dan disifatkan sebagai antara keputusan dasar terbesar selepas Vijay mengambil alih pentadbiran Tamil Nadu baru-baru ini.

Menurut kerajaan negeri, premis terbabit dikenal pasti berada dalam kawasan sensitif awam termasuk berhampiran kuil, masjid, gereja, sekolah, kolej dan hab pengangkutan awam.

Media India melaporkan daripada jumlah keseluruhan premis yang diarahkan tutup itu, sebanyak 276 kedai berada berhampiran rumah ibadat, 186 premis berhampiran sekolah dan institusi pendidikan manakala 255 lagi terletak berhampiran terminal bas.

Kerajaan Tamil Nadu memaklumkan tindakan itu diambil bagi memperketat kawalan penjualan arak selain mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap operasi premis berkenaan di kawasan tumpuan awam.

Isu ketagihan arak di Tamil Nadu sejak sekian lama menjadi antara masalah sosial terbesar di negeri itu dan sering dipaparkan dalam filem, drama televisyen serta laporan media tempatan.

Banyak filem Tamil sebelum ini mengangkat kisah keluarga berpecah-belah akibat alkohol, keganasan rumah tangga, kemiskinan, jenayah jalanan dan masalah kesihatan mental yang dikaitkan dengan ketagihan arak.

Beberapa pengarah terkenal India turut menggambarkan bagaimana budaya minum arak murah di kawasan miskin bandar menyebabkan ramai golongan pekerja hilang pekerjaan, terbeban hutang dan terjebak dalam pergaduhan domestik.

Tamil Nadu juga pernah dikejutkan dengan beberapa tragedi arak tiruan yang mengorbankan puluhan nyawa selain bantahan penduduk terhadap kewujudan premis TASMAC berhampiran kawasan perumahan dan sekolah.

Di media sosial India, pelbagai rakaman tular sebelum ini menunjukkan insiden pelanggan mabuk bergaduh di hadapan kedai arak, tidur di tepi jalan serta mengganggu wanita dan pengguna pengangkutan awam terutama di kawasan terminal bas.

Keadaan itu menyebabkan isu kawalan penjualan arak menjadi antara tuntutan utama pertubuhan masyarakat, kumpulan wanita dan aktivis sosial di negeri berkenaan sejak bertahun-tahun lalu.

Seorang pegawai kanan kerajaan dipetik berkata, langkah terbaru pentadbiran Vijay juga bertujuan memastikan pematuhan garis panduan baharu berkaitan jarak operasi kedai arak daripada kawasan sensitif.

TASMAC merupakan syarikat milik kerajaan negeri yang memonopoli penjualan arak di Tamil Nadu dan menjadi antara penyumbang utama hasil negeri itu.

Laporan media tempatan menyebut hasil jualan arak Tamil Nadu mencecah lebih ₹48,000 crore tahun lalu, menjadikan keputusan penutupan ratusan premis itu sebagai langkah yang mempunyai implikasi ekonomi dan sosial besar.

Pemerhati politik India melihat keputusan berkenaan sebagai usaha awal Vijay menampilkan imej pentadbiran lebih tegas terhadap isu sosial dan ketagihan alkohol selain memenuhi sebahagian janji manifesto pilihan rayanya.

Langkah itu turut menerima sokongan beberapa tokoh industri filem Tamil dan pertubuhan masyarakat yang menyifatkannya sebagai tindakan pro-rakyat demi menjaga kesejahteraan komuniti setempat.

+ - reset