TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MOT peruntuk RM1.5 juta kepada DBKL bina, naik taraf 100 hentian bas

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR, 15 Mei— Kementerian Pengangkutan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membina dan menaik taraf hentian bas di sekitar ibu negara.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sempena Majlis Peluncuran Stesen Keretapi Segambut Utara di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, peruntukan tambahan itu diluluskan bagi menangani aduan pengguna pengangkutan awam, khususnya berkaitan kekurangan hentian bas yang selamat, selesa dan teratur.

Katanya, antara aduan yang sering diterima daripada warga kota ialah keadaan pengguna yang terpaksa menunggu bas di tepi jalan tanpa kemudahan hentian bas yang sempurna.

“Kadang-kadang nak naik bas, tepi jalan sahaja. Tidak ada hentian bas yang betul, tidak ada kawasan dan tidak ada papan tanda. 

"Jadi, kita mahu perbaiki dan wujudkan hentian bas baharu,” katanya.

Beliau berkata, kos pembinaan atau naik taraf bagi sebuah hentian bas dianggarkan antara RM15,000 hingga RM30,000, dan melalui peruntukan RM1.5 juta itu, kira-kira 100 hentian bas dijangka dapat dibina atau dinaik taraf.

Menteri Pengangkutan turut menjelaskan bahawa projek usaha sama antara kementerian dan pihak berkuasa tempatan seperti ini telah dilaksanakan di Pulau Pinang, dan beliau berharap pelaksanaannya di Kuala Lumpur dapat disiapkan dengan lebih cepat.

“Kalau di Pulau Pinang mengambil masa lebih enam bulan, kita harap DBKL boleh siapkan dalam tempoh tiga bulan untuk 100 hentian bas ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif tersebut bukan hanya tertumpu kepada kawasan Segambut, sebaliknya perlu dilaksanakan mengikut keperluan di seluruh kawasan pentadbiran DBKL termasuk Cheras, Bukit Bintang, Batu dan Wangsa Maju.

Katanya, DBKL diminta mengenal pasti lokasi yang benar-benar memerlukan kemudahan hentian bas supaya peruntukan tersebut dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

Pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna dalam perjalanan harian mereka.

+ - reset