TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mekanik maut terjatuh jambatan selepas kereta terbabas

By
|
Kongsi
image

KOTA MARUDU 15 Mei – Seorang mekanik berusia 41 tahun, Beriuse Masikah, maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah jambatan kayu apabila kereta dipandunya terbabas di Jalan Kampung Masin, Pitas, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa yang sedang memandu menuju ke Kampung Narandang dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan jalan lurus yang gelap dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai cuba keluar dari kenderaan jenis Mitsubishi Mirage miliknya selepas terbabas, namun malangnya dia terjatuh ke bawah jambatan tersebut.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 2.45 pagi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Pitas.

Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tragis berkenaan.

+ - reset