TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat kes bayi patah tulang paha ketika terima rawatan jaundis di Sungai Petani

By
|
Kongsi
image

 

SUNGAI PETANI 15 Mei – Kes bayi lelaki yang didakwa mengalami patah tulang paha ketika menerima rawatan di sebuah hospital di daerah ini diklasifikasikan sebagai kes cedera parah dan kini dalam siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Hanyan Ramlan berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mendapatkan pandangan pakar serta mengesan saksi bagi menentukan sama ada wujud unsur kecuaian dalam insiden berkenaan.

Menurut beliau, bapa kepada bayi terbabit membuat laporan polis pada 11 Mei lalu selepas mendapati anak lelakinya yang menerima rawatan akibat jaundis mengalami patah paha kanan selepas beberapa hari berada di wad.

“Dua siasatan sedang dilakukan dan kita turut mengatur perjumpaan dengan pihak hospital dan mereka memberi kerjasama penuh.

“Selain itu kita juga mendapatkan bantuan siasatan lain termasuk pandangan pakar, rakaman CCTV dan keterangan saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian kanak-kanak, manakala pihak hospital turut menjalankan siasatan dalaman.

Katanya, polis sedang meneliti sama ada kecederaan dialami bayi itu berlaku secara semula jadi atau akibat kecuaian ketika menerima rawatan.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan seorang bayi lelaki berusia 13 hari mengalami patah tulang paha kanan ketika menerima rawatan jaundis di sebuah hospital.

Dalam pada itu, polis meminta individu atau ahli keluarga pesakit yang berada di wad ketika kejadian tampil membantu siasatan.

+ - reset