Berita Berita
KPM hapus rekod manual kokurikulum guru, sedia tambahan dana bilik guru RM100 juta
IPOH 16 Mei – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pemansuhan sistem perekodan kokurikulum secara manual berkuat kuasa serta-merta sebagai usaha berterusan mengurangkan beban tugas lambak guru di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa susulan pemansuhan itu, pihak sekolah kini diberikan kuasa autonomi penuh untuk menguruskan rekod mengikut kesesuaian sebelum data akhir murid dimasukkan ke dalam sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Bagi memastikan kelancaran pengurusan data, sistem PAJSK tersebut akan disepadukan terus dengan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) supaya tugasan merekod menjadi lebih cekap, sistematik, sekali gus membolehkan pendidik fokus kepada proses pengajaran di dalam kelas.
Langkah berkenaan merupakan salah satu daripada 12 inisiatif utama yang diumumkan beliau bersempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 bertemakan "Guru Bitara Nadi Negara" yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Selain pemansuhan rekod manual, KPM turut mengumumkan peruntukan dana tambahan sebanyak RM100 juta untuk kerja penyelenggaraan dan naik taraf bilik guru, menjadikan jumlah keseluruhan bagi tujuan tersebut melonjak kepada RM200 juta.
Kemudahan tempat tinggal guru juga terus diperkasakan menerusi penambahan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi menyelenggara kuarters kediaman di bawah kementerian, menjadikan nilai keseluruhan dana bagi kebajikan perumahan itu kini berjumlah RM110 juta.
Beberapa insentif lain turut diperincikan termasuk pelanjutan kursus percuma Google Certified Educator (GCE), penawaran Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Khas bagi guru sekolah pedalaman dan hospital, Biasiswa Perguruan Persekutuan untuk barisan pentadbir, serta peruntukan RM10.5 juta bagi memperkasakan budaya membaca di peringkat prasekolah menerusi Program PAKAT.
Berita berkaitan
May 16, 2026, 2:37 pm
Menyamar pegawai imigresen: Dua beradik ditahan, polis buru tukang cat
May 16, 2026, 2:31 pm
Keluar PKR hak peribadi Asheeq Ali, jangan serang parti - Prabakaran
May 16, 2026, 12:25 pm
MARA buka pembiayaan Program Kadet Juruterbang, beri keutamaan kepada pelajar Tahfiz
May 16, 2026, 12:04 pm
Peranan guru bentuk akhlak generasi muda semakin genting - PM
May 16, 2026, 11:57 am
12 inisiatif diperkenal perkasakan profesion guru sempena Hari Guru
May 16, 2026, 11:45 am
PDRM siasat dakwaan Jho Low pulang ke Malaysia hadiri mesyuarat sulit
May 16, 2026, 8:21 am
Guru tonggak masa depan, kecemerlangan pendidik terus diiktiraf - Fadhlina
May 15, 2026, 8:37 pm
