TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Peranan guru bentuk akhlak generasi muda semakin genting - PM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peranan golongan pendidik kini menjadi semakin genting dalam membentuk generasi yang mempunyai kekuatan akhlak serta jiwa bagi mendepani cabaran dunia yang kian kompleks.

Beliau menyatakan bahawa tugas hakiki seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu akademik semata-mata, malah bertanggungjawab mewarnai pengetahuan tersebut dengan nilai kemanusiaan dan kebijaksanaan yang selaras dengan citra Malaysia MADANI.

Melalui hantaran sempena sambutan Hari Guru bertema "Guru Bitara Nadi Negara" hari ini, beliau mengingatkan bahawa sebarang pembangunan negara tanpa penerapan nilai dan adab hanya akan melahirkan kemajuan yang kehilangan arah.

Anwar turut mengimbas kembali pengalaman peribadinya yang pernah menjadi tenaga pengajar ketika menubuhkan Yayasan Anda Akademik pada awal tahun 1970-an bagi membantu anak muda daripada keluarga miskin dan tercicir.

Pengalaman berharga tersebut telah mengajar beliau bahawa tugas guru yang paling utama adalah untuk membina keyakinan diri murid, mengangkat maruah insan, serta menanam harapan serta cita-cita murni dalam kehidupan mereka.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, keunggulan para guru di dalam bilik darjah menjadi asas penting dalam melahirkan modal insan bermutu tinggi yang akan menjamin kestabilan sosial, perpaduan, dan kemakmuran masa hadapan negara.

+ - reset