TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

12 inisiatif diperkenal perkasakan profesion guru sempena Hari Guru

By
|
Kongsi
image

IPOH 16 Mei – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan 12 inisiatif baharu bagi memperkasakan kebajikan dan memperkukuh tugas golongan pendidik bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-55 yang berlangsung hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa antara inisiatif tersebut termasuklah penyediaan kursus pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap Satu dan Tahap Dua secara percuma kepada semua guru bagi meningkatkan literasi digital mereka.

Beliau menjelaskan bahawa pembiayaan penuh kursus berkenaan yang melibatkan kos RM40 bagi Tahap Satu dan RM100 bagi Tahap Dua untuk setiap guru merupakan komitmen berterusan kementerian dalam menyokong pembangunan profesionalisme guru.

Selain itu, KPM turut menawarkan Hadiah Latihan Persekutuan khas yang dikhususkan buat guru-guru yang berkorban menabur bakti di sekolah di bawah program khas (prohas) seperti sekolah dalam hospital, sekolah terapung, serta sekolah pedalaman kategori P1, P2, dan P3.

Insentif khas tersebut bakal memberi peluang kepada guru-guru terpilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) sebagai galakan untuk terus berkhidmat demi meningkatkan akses pendidikan negara.

Inisiatif-inisiatif itu diumumkan beliau semasa berucap pada majlis sambutan bertemakan "Guru Bitara Nadi Negara" yang dirasmikan secara gilang-gemilang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara inisiatif dan pengumuman baharu oleh KPM ialah:

  1. Kursus Google Certified Educator diteruskan secara percuma
    KPM meneruskan kursus pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap 1 dan Tahap 2 secara percuma kepada semua guru bagi memperkukuh literasi digital pendidik. Kos ditanggung kerajaan ialah RM40 bagi setiap guru untuk GCE L1 dan RM100 bagi GCE L2.

  2. HLP Khas untuk guru sekolah rintangan
    Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Khas disediakan kepada guru yang berkhidmat di sekolah rintangan di bawah Program Khas (ProKhas), termasuk Sekolah Dalam Hospital, Sekolah Terapung serta sekolah pedalaman di kawasan P1, P2 dan P3.

  3. Biasiswa sarjana untuk pemimpin sekolah
    Biasiswa Perguruan Persekutuan turut ditawarkan kepada pemimpin sekolah bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.

  4. RM1 juta perkukuh Projek NODE di sekolah pedalaman
    KPM menerusi tajaan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) memperuntukkan RM1 juta bagi memperkukuh pelaksanaan Projek NODE di sekolah kawasan pedalaman dan pulau di bawah Program Sekolah Terintang.

  5. RM169 juta bekal peranti kepada sekolah
    Kerajaan MADANI dan KPM memperuntukkan sebanyak RM169 juta bagi membekalkan peranti kepada setiap sekolah di seluruh negara.

  6. Tambahan RM100 juta naik taraf bilik guru
    KPM menambah RM100 juta lagi untuk kerja penyelenggaraan dan naik taraf bilik guru, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan meningkat kepada RM200 juta.

  7. RM50 juta tambahan selenggara kuarters guru
    Dana tambahan RM50 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan kuarters guru. Dengan tambahan itu, jumlah keseluruhan peruntukan meningkat kepada RM110 juta bagi memastikan kediaman guru lebih selesa.

  8. Perekodan kokurikulum manual dimansuhkan
    Sistem perekodan kokurikulum secara manual dimansuhkan dan sekolah diberikan autonomi menguruskan rekod kokurikulum mengikut kesesuaian masing-masing sebelum data dimasukkan ke dalam sistem PAJSK.

  9. RM10.5 juta untuk bahan bacaan prasekolah
    Sebanyak RM10.5 juta diperuntukkan bagi menyediakan bahan bacaan tambahan untuk semua 10,515 kelas prasekolah di seluruh Malaysia.

  10. RM122.4 juta sokong program strategik sekolah
    KPM memperuntukkan RM122.4 juta bagi pusingan pertama untuk menyokong pelaksanaan program strategik melibatkan sekolah dan murid.

  11. Bantuan RM1,000 kepada guru anak cemerlang SPM
    KPM menerusi YGTHO mengumumkan bantuan RM1,000 kepada setiap guru yang anak mereka memperoleh keputusan 10A dalam SPM 2025.

  12. Moratorium 50 peratus sewaan kantin sekolah
    Sebagai menghargai sokongan ibu bapa dan masyarakat, KPM mengumumkan moratorium 50 peratus bagi bayaran sewaan kantin sekolah selama enam bulan.

  13. Projek NODE diperkenalkan untuk kawasan tanpa internet
    KPM turut memperkenalkan Projek NODE (Network Offline Digital Environment) bagi memastikan pembelajaran digital dapat diteruskan walaupun tanpa capaian internet, khususnya di kawasan pedalaman dan terpinggir.

+ - reset