TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MARA buka pembiayaan Program Kadet Juruterbang, beri keutamaan kepada pelajar Tahfiz

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Mei – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membuka tawaran pembiayaan pelajar baharu yang berminat untuk mengikuti Program Kadet Juruterbang dengan memberikan keutamaan khusus kepada golongan pelajar tahfiz daripada aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa semua pemohon yang berkelayakan perlu melalui proses pemilihan yang ketat termasuk sesi temu duga peringkat akhir bersama beliau sendiri bagi menjalani ujian tebuk hafazan serta tasmik al-Quran.

Iklan serta syarat kelayakan penuh akan dikeluarkan dalam masa terdekat, di mana para pemohon wajib memenuhi kriteria asas yang ditetapkan oleh akademi latihan penerbangan terkemuka seperti Malaysia Aviation Group (MAG) dan BATS.

MARA turut menetapkan syarat bahawa setiap akademi penerbangan yang ditaja mesti mempunyai perjanjian rasmi dengan syarikat penerbangan bagi menjamin peluang pekerjaan kepada semua pelatih setelah tamat pengajian kelak.

Asyraf Wajdi turut menjelaskan bahawa integrasi antara pendidikan tahfiz dan aliran STEM tulen sudah lama dilaksanakan dengan jayanya di institusi seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi, serta Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Beliau membuktikan kejayaan sistem tersebut dengan berkongsi pencapaian 221 pelajar MRSM yang bukan sahaja menghafaz 30 juzuk al-Quran, malah berjaya memperoleh keputusan semua A dalam SPM bagi subjek kritikal termasuk Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, dan Biologi.

+ - reset