Berita Berita
Tiga bekas pegawai kanan Telekom Malaysia di AS didakwa seleweng lebih AS$20 juta, guna AI dan rekod palsu
KUALA LUMPUR 20 Mei – Tiga bekas pegawai kanan anak syarikat Telekom Malaysia (TM) di Amerika Syarikat (AS) didakwa di mahkamah negara itu atas tuduhan menyeleweng lebih AS$20 juta milik syarikat telekomunikasi berkenaan menerusi pelbagai transaksi dan tuntutan palsu.
Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam kenyataannya berkata, tertuduh terdiri daripada Mohd Hafiz Lockman, Mohd Yuzaimi Yusof dan Khanh Thuong Nguyen yang masing-masing merupakan bekas eksekutif kanan di anak syarikat TM di negara itu.
Mereka didakwa menggunakan kenyataan palsu dan rekod dipalsukan untuk menyalurkan dana syarikat secara haram serta memperdaya rakan niaga, pembekal, juruaudit dan penyelia di AS dalam pelbagai kejadian antara Julai 2020 hingga Februari 2026.
"Tiga individu ini didakwa menjalankan skim pecah amanah yang disengajakan dan terancang, termasuk memalsukan rekod korporat demi kepentingan kewangan sendiri," kata Penolong Pengarah FBI (Biro Penyiasatan Persekutuan) yang bertanggungjawab, James C Barnacle Jr dalam satu kenyataan.
Menurut DOJ, Mohd Hafiz ditahan di lapangan terbang San Francisco manakala dua lagi tertuduh menyerah diri kepada pihak berkuasa bulan lalu.
Ketiga-tiga mereka didakwa atas pertuduhan konspirasi penipuan wayar, penipuan wayar dan kecurian identiti berat.
Mohd Hafiz, 48; Mohd Yuzaimi, 44; dan Nguyen, 48 bagaimanapun tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan komen.
DOJ turut memaklumkan pihaknya memutuskan untuk tidak mendakwa Telekom Malaysia selepas syarikat itu melaporkan sendiri salah laku jenayah terbabit serta berjanji memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Reuters sebelum ini melaporkan pada Mac bahawa DOJ sedang melaksanakan dasar baharu bagi menggalakkan syarikat melaporkan salah laku jenayah sebagai pertukaran kepada pengurangan penalti dan manfaat lain.
Menurut pertuduhan dikemukakan di AS, ketiga-tiga defendan didakwa menyalurkan berjuta-juta dolar daripada TM ke akaun bank yang mereka kawal.
Dalam satu kejadian, TM diminta meluluskan penjualan kapasiti lapan terabait kepada sebuah syarikat multinasional AS bernilai AS$54 juta, sedangkan hanya enam terabait sebenarnya dibeli.
Defendan kemudian didakwa menjual lebihan kapasiti itu kepada syarikat lain dan menyalurkan hasil jualan haram berkenaan melalui entiti palsu, menurut DOJ.
Mereka turut dituduh menaikkan kos pembelian kabel dan mengalihkan hampir AS$2.9 juta pembayaran ke akaun bank yang mereka kawal selain membuat tuntutan bayaran balik bagi perbelanjaan kerja yang direka-reka.
Ketiga-tiga mereka juga didakwa menyamar sebagai pekerja dan pelatih untuk mendapatkan gaji mereka, malah dalam satu kejadian menggunakan penyamar berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk memperdaya kakitangan sumber manusia, menurut DOJ.
Selain itu, mereka turut didakwa mengemukakan tuntutan bayaran balik palsu bagi lawatan kerja yang sebenarnya tidak pernah berlaku.
Sebagai contoh, pada Januari 2026, defendan didakwa bekerjasama memohon bayaran balik bagi perbelanjaan lawatan kerja yang kononnya dilakukan oleh kakitangan anak syarikat AS itu ke Las Vegas pada Disember 2025.
Bagaimanapun, perjalanan tersebut sebenarnya tidak pernah berlaku.
Apabila syarikat induk meminta gambar daripada lawatan berkenaan, defendan didakwa tergesa-gesa mengatur perjalanan ke Las Vegas dan mengambil gambar berlatarbelakangkan pokok Krismas bagi mewujudkan gambaran seolah-olah foto itu diambil pada Disember.
Dalam kenyataan berasingan, Telekom Malaysia memaklumkan ketiga-tiga individu terbabit sudah dipecat daripada syarikat selepas siasatan dalaman dijalankan berhubung dakwaan salah laku tersebut.
Menurut TM, hasil siasatan berkenaan kemudiannya dikongsikan dengan pihak berkuasa berkaitan.
Syarikat itu turut memaklumkan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada DOJ.
Berita berkaitan
May 21, 2026, 8:24 am
Sorok sekarung guni daun ketum di dapur: Warga emas positif dadah ditahan di Tawau
May 20, 2026, 9:23 pm
Polis sahkan terima laporan sekumpulam pelajar bertumbuk depan sekolah di Klang
May 20, 2026, 8:53 pm
Tiada keperluan untuk adakan PRK Pandan, Setiawangsa - SPR
May 20, 2026, 8:07 pm
Harga diesel naik 10 sen, RON95 naik 20 sen
May 20, 2026, 7:44 pm
Fahmi sahkan parti komponen komited bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal
May 20, 2026, 7:15 pm
