TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiada keperluan untuk adakan PRK Pandan, Setiawangsa - SPR

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 20 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa meskipun kedua-dua kawasan itu telah diisytiharkan kosong.

Keputusan itu dibuat selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul berhubung status kekosongan luar jangka dua kerusi Parlimen berkenaan.

Pengerusi SPR, Ramlan Harun berkata, kekosongan tersebut membabitkan kerusi P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa yang diisytiharkan kosong mengikut Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.

“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Johari mengesahkan menerima notis peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa Isnin lalu.

Ahad lalu, kedua-dua bekas pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat itu mengejutkan arena politik negara apabila mengumumkan keluar parti sebelum bertindak mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Pengumuman tersebut dibuat ketika majlis hala tuju politik di Petaling Jaya yang turut menyaksikan Rafizi dan Nik Nazmi tampil dengan platform politik baharu.

Rafizi sebelum ini memaklumkan surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa telah diserahkan kepada Johari pada Isnin, manakala notis rasmi keluar parti dihantar kepada Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Rafizi dan Nik Nazmi turut mengesahkan pengambilalihan Parti Bersama Malaysia sekali gus mencetuskan gelombang baharu dalam landskap politik negara menjelang PRU-16. – MalaysiaGazette

+ - reset