TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Libas India 3-0: Skuad takraw negara enggan mendabik dada, waspada ancaman Myanmar malam esok

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Mei – Skuad sepak takraw kebangsaan enggan terlalu awal dibuai momentum kemenangan meskipun berjaya membuka kempen acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dengan langkah kanan selepas melibas India 3-0 di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Pengurus skuad negara, Datuk Abu Jimi Samat meletakkan amaran awal agar barisan pemain kekal fokus dan memberikan perhatian yang sangat serius menjelang aksi kedua peringkat kumpulan menentang Myanmar, malam esok.

Menurut beliau, walaupun rekod pertemuan lalu berpihak kepada Malaysia, prestasi semasa skuad sang kancil Myanmar tidak boleh dipandang remeh ekoran peningkatan mendadak kualiti permainan mereka yang kini mampu menggugat pasukan gergasi dunia.

“Berdasarkan pemerhatian kita sebelum ini termasuk rekod pertandingan atau perlawanan yang pernah ditemukan, ia bukanlah satu situasi yang terlalu berat kepada pasukan negara.

“Namun, melihat kepada prestasi beberapa acara sebelum ini, Myanmar telah memberikan cabaran cukup kuat khususnya kepada regu kita selain turut memberi tentangan hebat kepada Thailand. Jadi, kita tidak boleh memandang mudah kemampuan mereka dan perlu memberikan sehabis baik dengan rekod kemenangan bersih,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam aksi pembukaan menentang India, regu pertama negara yang mempertaruhkan Haziq Hairul Nizam selaku tekong, dibantu Zuleffendi Sumari dan perejam Muhammad Noraizat Mohd. Nordin, mempamerkan corak serangan agresif untuk menyumbang mata pertama menerusi kemenangan 15-10, 15-10.

Momentum bertenaga itu diteruskan oleh regu kedua negara menerusi gandingan berpengalaman Syahir Rosdi, Farhan Adam, dan Mohamad Azlan Alias yang tenang menyerap asakan kebangkitan India pada set kedua sebelum menang 15-10, 15-12.

Stadium Titiwangsa terus bergegar dengan sorakan kira-kira ribuan penonton apabila regu ketiga negara yang dibarisi Zulkifli Abd. Razak, Aidil Aiman Azwawi, dan Muhammad Afifuddin Mohd. Razali (sebelum Hafizul Hayazi Adnan dibawa masuk) tampil terlalu ampuh untuk membenam India dengan kutipan mata mutlak 15-3, 15-5.

Kemenangan bersih tanpa kehilangan sebarang set itu menjadi tonik terbaik buat skuad negara dalam misi mengesahkan slot ke peringkat suku akhir, dengan syarat mereka perlu melepasi ranjau Myanmar dalam aksi tumpuan malam esok.

+ - reset