TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya terpaksa cari maksud kaduk naik junjung' - Tony Pua balas sindiran Asyraf Wajdi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 20 Mei – Tony Pua membalas sindiran Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkannya sebagai ‘biadab’ dan ‘bagai kaduk naik junjung’ susulan kenyataannya berhubung sistem Raja Berperlembagaan.

Menerusi hantaran di Facebook pada Rabu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu berkata, beliau terpaksa mencari maksud peribahasa tersebut selepas membaca kenyataan Asyraf Wajdi.

Menurut Tony, perumpamaan ‘bagai kaduk naik junjung’ merujuk kepada seseorang daripada golongan biasa yang memperoleh kedudukan atau penghormatan sebelum menjadi sombong dan lupa diri.

“Saya terpaksa cari makna peribahasa tersebut. Ah,” katanya ringkas.

Hantaran itu dibuat sebagai reaksi terhadap kenyataan Asyraf Wajdi yang mendakwa Tony lupa adab dan batas terhadap institusi raja selain menyifatkannya sebagai biadab.

Sebelum ini, Himpunan Daulat Tuanku pada Sabtu lalu memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi mewujudkan sebuah Lembaga Kesetiaan Negara.

Cadangan itu antara lain bertujuan menilai serta mengesyorkan tindakan perlucutan kewarganegaraan terhadap individu yang didakwa melakukan penghinaan, penderhakaan atau perbuatan biadab terhadap Institusi Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Lembaga berkenaan turut dicadangkan dianggotai sembilan individu yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Susulan itu, Tony pada Selasa mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Malaysia perlu memahami Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia secara teliti selaras sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara.

Beliau berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kuasa raja berbeza mengikut negeri, namun secara umumnya terhad kepada aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam serta fungsi perlembagaan termasuk pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

+ - reset