TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

IPD Pasir Puteh terbakar awal pagi, 4 motosikal polis trafik musnah 100 peratus

By
|
Kongsi
image

PASIR PUTEH 21 Mei – Empat buah motosikal jenis logistik milik unit polis trafik dilaporkan musnah sepenuhnya dalam satu insiden kebakaran yang turut menjejaskan sebahagian struktur bangunan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.27 pagi itu, sebuah lagi motosikal milik orang awam yang diletakkan berhampiran kawasan berkenaan turut dikesan hangus dijilat api.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sebelum menggerakkan kekuatan 10 anggota bersama bantuan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) ke lokasi kejadian.

"Komander operasi melakukan teknik penilaian (size-up) sejurus tiba dan mendapati implikasi kebakaran melibatkan empat buah motosikal polis trafik, sebuah motosikal awam berserta struktur fizikal bangunan.

"Anggaran kemusnahan melibatkan kesemua kenderaan dua roda itu adalah 100 peratus (musnah total), manakala kemusnahan pada bahagian bangunan pula dianggarkan kira-kira 10 peratus," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Azhar Elmi, tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya mengawal kemerebakan api daripada terus memedung struktur utama balai pada jam 2.43 pagi, sebelum operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 3.40 pagi.

Pihak bomba turut mengesahkan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan fizikal membabitkan petugas keselamatan mahupun orang awam dilaporkan dalam insiden berkenaan.

Kawasan zon kebakaran kini diserahkan sepenuhnya kepada unit forensik bomba dan pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca sebenar serta anggaran nilai kerugian rasmi masih lagi berada di bawah fasa siasatan intensif.

+ - reset