TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rakyat derita kos sara hidup, orang politik sibuk kejar kuasa – Ibrahim Ali

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Mei – Kebajikan masyarakat marhaen didakwa semakin terpinggir berikutan sikap segelintir tokoh politik yang lebih mengutamakan perebutan takhta, jawatan, dan agenda peribadi berbanding menyelesaikan bebanan ekonomi yang sedang menghimpit negara.

Kritikan hebat itu disuarakan oleh Presiden Parti Bumiptera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali yang menyifatkan situasi semasa memperlihatkan golongan bawahan terpaksa bergelut demi kelangsungan hidup termasuk menyelesaikan tunggakan hutang, sewa kediaman, pembiayaan kenderaan, serta kos pendidikan anak-anak.

Beliau menjelaskan terdapat jurang perbezaan yang besar antara laporan rasmi agensi kerajaan dengan realiti sebenar di lapangan, memandangkan keluh-kesah masyarakat mengenai kenaikan harga barang sekadar dijadikan bahan sembang politik tanpa jalan penyelesaian yang tumpat.

"Semua nampak elok dan berita daripada pemimpin atau agensi kerajaan semuanya bagus tetapi di lapangan rakyat menderita dengan kos sara hidup yang makin tertekan. Ramai orang politik pula sibuk kira kerusi, jawatan, kuasa dan masa depan politik sendiri," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ibrahim turut menyifatkan landskap kepimpinan negara kini sedang berdepan dengan krisis moral yang serius apabila nama 'perjuangan demi rakyat' sering kali disalah guna untuk memuaskan cita-cita individu tertentu termasuk tindakan menubuhkan wadah politik baharu setiap kali berlaku penyingkiran atau kekalahan dalam pemilihan parti.

Membidas perkara tersebut, beliau mempersoalkan sejauh mana golongan petani, nelayan, pengusaha kecil, serta anak muda yang terkesan dengan masalah pengangguran benar-benar mendapat pembelaan sewajarnya daripada kelompok yang memegang tampuk kuasa.

Malah, beliau turut menegur kecenderungan segelintir figura politik yang gemar menonjolkan gaya hidup mewah serta mengalih tumpuan masyarakat dengan kandungan berbentuk hiburan dan populariti murah di media sosial, berbanding membentangkan formula berkesan bagi memulihkan kedudukan ekonomi rakyat.

Sehubungan itu, beliau menitipkan pesanan agar pemilih di negara ini tidak lagi bersikap taksub dalam memberikan sokongan sebaliknya meletakkan penanda aras yang tinggi dengan hanya memilih calon yang berintegriti, bebas daripada rasuah, dan mengamalkan gaya hidup bersederhana demi masa depan negara.

+ - reset