TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JAKIM guna AI percepat proses pensijilan halal

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 23 Mei – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyasarkan tempoh memproses permohonan pensijilan halal dapat dipendekkan menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem baharu yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

Ketua Pengarah JAKIM, Sirajuddin Suhaimee berkata, inisiatif itu akan direalisasikan menerusi sistem MyeHALAL 2.0 yang disokong pangkalan data MyHALALINGREDIENTS dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Dengan menggunakan data sedia ada, kita boleh memanfaatkannya melalui teknologi AI. Menerusi MyeHALAL 2.0, sistem itu akan menyemak setiap permohonan yang dihantar berasaskan pangkalan data kita, iaitu MyHALALINGREDIENTS yang bertindak sebagai sistem sokongan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Menurut beliau, inovasi pendigitalan tersebut membolehkan proses kelulusan dilaksanakan dalam tempoh lebih singkat sekali gus menyokong hasrat kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan industri halal negara.

Selain penggunaan AI, katanya, JAKIM turut memperkenalkan inisiatif whitelist bagi syarikat yang mempunyai tahap komitmen tinggi serta rekod pematuhan baik untuk mempercepatkan lagi proses kelulusan sijil halal.

“Bagi syarikat-syarikat yang berkomitmen tinggi dan tak pernah ada masalah, kita namakan mereka whitelist. Ertinya jika mereka memohon dan menghantar dokumen sokongan dengan segera, kelulusan sijil halal boleh disiapkan dalam masa seminggu.

“Ini antara perkara yang kita ambil kira. Oleh kerana komitmen yang tinggi oleh pihak syarikat, maka tidak perlulah kita menyusahkan,” katanya.

+ - reset