Berita Berita
Amirudin teruk dikecam jawab tak jumpa tanah untuk bina hospital awam baru di PJ
SHAH ALAM 23 Mei — Isu ketiadaan hospital awam di kawasan padat penduduk seperti Petaling Jaya, Subang dan Puchong kembali menjadi perhatian selepas Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari tampil menjelaskan cabaran mendapatkan tanah sesuai bagi pembinaan kemudahan kesihatan itu.
Penjelasan beliau menerusi media sosial bagaimanapun mengundang kritikan netizen serta beberapa parti politik yang mempersoalkan kelewatan penyediaan hospital kerajaan di kawasan terbabit walaupun pembangunan pesat terus berlaku.
Perkara itu bermula selepas seorang pengguna platform X pada Selasa lalu meluahkan kebimbangan mengenai penduduk di Petaling Jaya, Subang dan Puchong yang masih tidak mempunyai hospital awam sendiri sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Shah Alam, Sungai Buloh, Serdang, Cyberjaya dan Putrajaya.
Dalam masa sama, hospital swasta pula dilihat semakin banyak dibangunkan di kawasan berkenaan.
Menjawab perkara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha mencari tapak sesuai untuk membina hospital di Petaling Jaya, namun berdepan isu kos pengambilan tanah yang tinggi.
"Kerajaan Selangor & KKM sedang mencari tanah yang sesuai untuk hospital di kawasan PJ, sebelum ini ada tapak tapi harus kos yang tinggi untuk dibeli di samping tapak baru di kenal pasti agak jauh (area Kota Damansara ), kita sedang cari tapak tanah alternatif lain," katanya.
Dalam hantaran susulan, beliau menjelaskan projek pembinaan hospital itu merupakan projek kerajaan Persekutuan bagi menampung keperluan penduduk sekitar Taman Medan dan PJ Old Town, manakala kerajaan negeri hanya membantu dalam urusan pengambilan tanah.
Menurut beliau, KKM memerlukan sekurang-kurangnya lima ekar tanah bagi tujuan pembinaan hospital berkenaan.
Walaupun peruntukan projek telah tersedia, kementerian berpandangan kos pengambilan tanah di lokasi sedia ada terlalu tinggi sehingga menyebabkan keseluruhan kos projek meningkat dua hingga tiga kali ganda berbanding pembinaan di kawasan lain.
Bagaimanapun, beberapa pengguna media sosial mendakwa kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pembangunan lain termasuk pusat data, lebuh raya baharu serta projek komersial berskala besar berbanding pembinaan hospital awam.
Sebagai respons, Amirudin menegaskan keputusan berkaitan projek hospital berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan negeri hanya membantu memudahkan urusan tanah dan mengenal pasti lokasi bersesuaian.
Sementara itu, ahli jawatankuasa Pemuda Bersatu, Na’im Brundage menyifatkan penjelasan Amirudin sebagai lemah dan “amat memalukan” serta menghina kebijaksanaan rakyat Selangor.
Menurutnya, beberapa hospital pakar swasta berskala besar seperti Hospital Picaso, Sunway Medical Centre Damansara dan Damansara Specialist Hospital 2 berjaya dibangunkan di Petaling Jaya sejak beberapa tahun lalu.
“Persoalannya, bagaimana pihak swasta mampu memperoleh tanah untuk membina hospital, tetapi kerajaan negeri Selangor masih terkial-kial mencari tapak?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil alih tanah swasta demi kepentingan penduduk di Puchong, Petaling Jaya dan Subang.
"Oleh itu, alasan yang diberikan oleh Menteri Besar Selangor tidak boleh diterima sama sekali.
"Kegagalan ini bukan berpunca daripada kekangan geografi atau ketiadaan tanah, sebaliknya berpunca daripada ketidakcekapan pentadbiran dan ketiadaan tekad politik untuk mendahulukan kebajikan kesihatan rakyat," katanya.
Dalam perkembangan sama, Parti Sosialis Malaysia (PSM) Gombak turut mempersoalkan tempoh masa yang diambil kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Berapa lama lagi Menteri Besar mahu mencari tanah? Adakah lebih mudah untuk kerajaan ini memberikan tanah negeri kepada pemaju berbanding membina hospital untuk rakyat?” katanya di X.
PSM Petaling Jaya pula mencadangkan supaya KKM mengambil alih sementara Pusat Perubatan Universiti Malaya dan menyalurkan dana tambahan bagi mengurangkan kos rawatan.
Menjawab kritikan itu, Amirudin berkata tiada tanah milik kerajaan negeri di Petaling Jaya yang cukup besar untuk membina hospital kerajaan.
Beliau juga menjelaskan penggunaan Akta Pengambilan Tanah tetap melibatkan kos kewangan kepada kerajaan Persekutuan, manakala cadangan pengambilalihan PPUM memerlukan persetujuan antara KKM dan Universiti Malaya.
Berita berkaitan
May 23, 2026, 1:43 pm
Rayer menang saman fitnah, netizen diperintah bayar RM100,000
May 23, 2026, 1:08 pm
Malaysia perlu kurangkan kebergantungan kepada buruh asing - Anwar
May 23, 2026, 10:23 am
Anwar hubungi Vijay Thalapathy, maklumkan kemungkinan ke Tamil Nadu
May 23, 2026, 9:33 am
JAKIM guna AI percepat proses pensijilan halal
May 22, 2026, 8:19 pm
Ibu sedih anak kerap dibuli di sekolah hingga retak tulang tangan, muka lebam
May 22, 2026, 4:43 pm
Ustaz Mad Kecik selamat diijabkabulkan dengan pelajar madrasah
May 22, 2026, 4:43 pm
