TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JASANUSA gesa SPRM siasat syarikat tawar pakej qurban luar negara

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 25 Mei – Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (JASANUSA) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap syarikat tempatan yang menawarkan perkhidmatan ibadah korban dan akikah di luar negara susulan kebimbangan terhadap ketelusan pengurusan kewangan mereka.

Presidennya, Samsudin Awang berkata, syarikat terbabit kini giat mempromosikan pakej ibadah sempena Aidiladha dengan menggunakan sentimen kebajikan umat Islam di luar negara bagi menarik pelanggan.

Menurut beliau, timbul persoalan mengenai kesahihan operasi dan ketelusan kewangan syarikat terlibat termasuk ada yang menggunakan nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta yayasan dakwah rentas sempadan.

“Kita wajar mengambil pengajaran daripada beberapa kes penipuan sebelum ini termasuk penipuan badal haji yang menggunakan umpan ibadah luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat agensi menawarkan pakej korban luar negara serendah RM250 bagi satu bahagian unta di Makkah atau Afrika dengan alasan membantu umat Islam miskin di negara terbabit.

Katanya, syarikat berkenaan mendakwa bayaran pelanggan digunakan sepenuhnya untuk pelaksanaan ibadah korban dan pengagihan daging kepada golongan memerlukan, namun kesahihannya sukar dibuktikan terutama dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh dimanipulasi.

Tambah beliau, ada syarikat yang menjalankan perkhidmatan korban dan akikah luar negara lebih 20 tahun tanpa laporan audit jelas kepada umum.

Sehubungan itu, JASANUSA menggesa SPRM menuntut syarikat, yayasan atau NGO berkaitan mengemukakan laporan audit kewangan yang disahkan juruaudit bertauliah dan bukan sekadar audit dalaman. – MalaysiaGazette

+ - reset