TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Parti dadah, pesta gay di hotel mewah diserbu, 51 lelaki ditahan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 25 Mei – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan kegiatan penyalahgunaan dadah dan aktiviti tidak bermoral menerusi serbuan di sebuah hotel mewah di ibu negara awal pagi semalam yang membawa kepada penahanan 51 lelaki.

Operasi yang dijalankan antara jam 2.35 pagi hingga 5 pagi itu hasil risikan berkaitan penganjuran parti dadah dan pesta gay membabitkan lelaki tempatan serta warga asing.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi berkenaan dijalankan bersama JSJN Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Menurutnya, empat siri serbuan dilakukan dan berjaya menahan 51 lelaki berusia antara 21 hingga 52 tahun.

"Daripada jumlah itu, 23 adalah lelaki tempatan manakala 28 lagi warga asing.

"Polis turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya cecair MDMA seberat 1.15 kilogram, serbuk MDMA (284 gram), pil ekstasi, serbuk ekstasi dan ketamin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM103,070.

Katanya, sebelum serbuan dilakukan, polis mengesan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam parti berkenaan diusung keluar dari lobi hotel dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital," katanya.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai menjadikan bilik hotel mewah sebagai lokasi berhibur dan menyalahgunakan dadah selain terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati 36 individu positif dadah manakala 15 lagi negatif.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) akta sama dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Semua suspek direman antara tiga hingga enam hari bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai satu rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Hussein, kejayaan operasi itu hasil risikan berterusan dijalankan pihak JSJN dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah.

"Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah adalah kesalahan serius di sisi undang-undang," katanya.

+ - reset