Berita Berita
MP DAP gesa kerajaan lebih tegas tangani naratif ekstremis, provokasi kaum
KUALA LUMPUR 26 Mei – Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau mengingatkan bahawa seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat Malaysia menolak kebencian dan fitnah akan menjadi sia-sia sekiranya kerajaan tidak bertindak lebih tegas, pantas dan konsisten terhadap naratif ekstremis serta provokasi kaum dan agama.
Ganabatirau berkata, beliau menyuarakan kritikan terhadap apa yang disifatkannya sebagai “kelemahan terbesar” kerajaan yang turut dirasai ramai rakyat Malaysia, khususnya berkaitan persepsi terhadap respons kerajaan dalam beberapa isu melibatkan sensitiviti masyarakat India.
Menurut Timbalan Pengerusi DAP Selangor itu, antara isu yang mencetuskan persepsi negatif ialah kontroversi stoking tertera kalimah Allah yang dijual di rangkaian kedai serbaneka KK Mart pada 2024, penggunaan istilah berbaur perkauman terhadap kaum India serta tindakan melabel kuil Hindu sebagai “haram”.
“Apabila kontroversi yang tidak sensitif dan kenyataan yang didorong oleh kebencian muncul… responsnya sering dilihat sebagai tertangguh, tidak konsisten atau tidak cukup tegas.
“Ini membolehkan suara-suara ekstremis menjadi lebih kuat dan mewujudkan persepsi bahawa tiada tolak ansur dan provokasi sedang dinormalisasikan dalam wacana awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara aman dan berbilang kaum tidak dapat dikekalkan sekiranya ucapan kebencian, ketaksuban agama dan hasutan dilayan secara selektif atau mengikut kepentingan politik tertentu.
Katanya, kerajaan perlu menunjukkan keberanian moral dengan melaksanakan undang-undang secara adil dan konsisten terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menggugat keharmonian negara tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.
“Majoriti senyap sentiasa mempercayai kesederhanaan, saling menghormati dan kewujudan bersama.
“Apa yang dicari oleh rakyat Malaysia sekarang bukan sekadar retorik menentang ekstremisme, tetapi tindakan yang tegas dan berprinsip (yang) meyakinkan setiap rakyat bahawa perpaduan, keadilan dan keterangkuman kekal sebagai asas sebenar negara kita,” katanya lagi.
Kenyataan itu dibuat susulan ucapan Anwar sempena sambutan Hari Wesak pada 23 Mei lalu yang menyeru golongan majoriti cintakan keamanan supaya bangkit menentang naratif kebencian dan fitnah disebarkan kumpulan minoriti.
Menurut Perdana Menteri, keadaan semasa memperlihatkan “kezaliman minoriti” apabila segelintir individu lantang dan penuh kemarahan cuba memaksakan kehendak mereka terhadap majoriti rakyat melalui penyebaran fitnah.
Dalam pada itu, Ganabatirau turut menyuarakan sentimen sama seperti bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa kerajaan boleh melakukan lebih banyak usaha dalam menangani isu perkauman dan agama.
Rafizi sebelum ini mendakwa tumpuan Anwar untuk menjaga hubungan dengan rakan dalam kerajaan perpaduan termasuk UMNO menyebabkan isu berkenaan tidak ditangani secara lebih berkesan.
Ketika kontroversi KK Mart tercetus, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh antara individu yang menggesa umat Islam memboikot rangkaian runcit berkenaan.
Rafizi yang kini mengetuai Parti Bersama Malaysia (Bersama) turut mendakwa kerajaan gagal menyediakan mekanisme dan kepimpinan naratif yang berkesan bagi menangkis agenda ekstremis.
Sementara itu, ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Profesor Tajuddin Rasdi pula berpendapat Anwar tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya atas peningkatan ketegangan kaum dan agama.
Beliau mendakwa Rafizi sendiri tidak banyak menangani isu perkauman dan agama ketika menjadi Menteri Ekonomi, termasuk dalam podcast yang dikendalikannya.
“Seperti biasa, Rafizi berada dalam mod klasiknya menyalahkan orang lain, terutamanya bekas bosnya, tanpa sebarang pelaksanaan konkrit di pihaknya sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.
Tajuddin turut berpandangan bahawa sebarang campur tangan Anwar dalam isu sensitif sedemikian boleh dimanipulasi pembangkang sebagai modal politik.
Berita berkaitan
May 26, 2026, 12:25 pm
Harga maksimum tiket ke Sabah, Sarawak RM499 sempena Gawai, baki kerajaan tanggung - Anthony
May 26, 2026, 11:15 am
Pelaksanaan Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu 1 Jun ini ditangguhkan
May 26, 2026, 11:02 am
Penunggang motosikal maut rempuh kalbat air simen dalam perjalanan pulang ke rumah
May 26, 2026, 10:26 am
Caj jalan Genting Highlands bermula 28 Mei, kereta dikenakan RM5
May 26, 2026, 10:16 am
Wisma Putra sahkan seorang rakyat Malaysia meninggal dunia dalam bangunan runtuh di Filipina
May 26, 2026, 10:02 am
Pengawal keselamatan maut motosikal terbabas langgar anjing melintas di Alor Gajah
May 26, 2026, 8:23 am
