Berita Politik
Isu pengambilalihan parti: Rafizi nafi bayar RM8.5 juta kepada Tan Gin Theam
KUALA LUMPUR 28 Mei – Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang menuduh beliau membayar wang sebanyak RM8.5 juta bagi mengambil alih Parti Bersama (BERSAMA) daripada pengasas asalnya, Tan Gin Theam.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform X, bekas Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan bahawa proses pengambilalihan parti berkenaan sebenarnya dilakukan tanpa melibatkan sebarang bentuk transaksi tunai antara beliau dengan Gin Theam.
Beliau turut menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu sebagai satu bentuk fitnah jahat yang sengaja disebarkan oleh kumpulan laskar siber.
"Jangan bimbang, kita serahkan kepada Allah. Ada balasan kepada mereka suatu hari nanti. Gin Theam menangis masa serahkan parti ini kepada kami (Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad).
"Dia hanya meminta (kami) jaga BERSAMA baik-baik dan supaya ia boleh bela rakyat biasa lebih baik daripada yang dia mampu buat sebelum ini," katanya hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan struktur BERSAMA yang kini telah berjaya meraih keahlian melebihi 20,000 orang, Rafizi menjelaskan bahawa parti tersebut tidak meletakkan penguasaan politik atau kuasa sebagai sasaran utama mereka dalam tempoh terdekat ini.
Sebaliknya, beliau dan Nik Nazmi mengambil keputusan untuk melepaskan segala-galanya demi mewujudkan sebuah platform politik yang inklusif dan sesuai untuk golongan rakyat marhaen yang berfokus kepada masa depan.
Tambah beliau, tumpuan utama parti untuk tempoh akan datang adalah memberikan fokus sepenuhnya kepada usaha memperkenalkan identiti BERSAMA serta '12 Agenda' teras kepada seberapa ramai masyarakat.
Dalam pada itu, Rafizi memberi jaminan bahawa BERSAMA memberikan peluang yang adil kepada semua ahlinya untuk dicalonkan dalam pilihan raya, namun setiap permohonan perlu melalui tapisan dan penilaian ketat satu-persatu oleh sebuah jawatankuasa calon yang khas.
Menurut beliau, proses permohonan untuk menjadi calon tersebut akan dibuka dalam tempoh terdekat, di mana para pemohon perlu melalui beberapa fasa memperkenalkan diri termasuk membuat pembentangan di hadapan skrin.
Tegasnya, setiap ahli mempunyai ruang dan peluang yang sama rata untuk dipilih tanpa memerlukan sebarang kabel politik atau perlu mengenali beliau dan Nik Nazmi secara peribadi.
Berita berkaitan
May 26, 2026, 1:56 pm
PKR rombak jentera pilihan raya, Amirudin dan Saifuddin ganti Nurul Izzah
May 19, 2026, 12:38 pm
Sateerah Hassan letak jawatan Timbalan Ketua Wanita PKR Putrajaya
May 17, 2026, 6:15 pm
'PH kini main sentimen ketakutan, bukan lagi naratif harapan' - Nik Nazmi
May 17, 2026, 3:21 pm
