TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu ternakan babi: Izham Hashim mahu saman Ronnie Liu, bidas tuduhan liar demi politik

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Mei – Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim menegaskan beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah memaklumkan akan meneliti secara terperinci kenyataan yang dikeluarkan oleh Ronnie kerana ia didapati mengandungi unsur fitnah terhadap dirinya.

Pada 28 Mei lalu, Ronnie mendakwa Izham merupakan individu utama yang mencetuskan kontroversi penternakan babi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, selain mendakwa cadangan memindahkan aktiviti penternakan tersebut ke Bukit Tagar turut datang daripada Izham.

Izham bagaimanapun menyifatkan kenyataan Ronnie itu dibuat semata-mata demi kepentingan politik peribadi, terutamanya menjelang pengumuman pilihan raya yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Pertama tuduhan idea saya menamatkan ternakan babi tempatan, ia satu tuduhan melulu dan dia (Ronnie) tahu kerana sebagai bekas exco, sebarang keputusan dibuat oleh Mesyuarat Kerajaan Negeri secara kolektif,” katanya dalam satu hantaran video di media sosialnya hari ini.

Izham turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berhubung pelan pemindahan penternakan haiwan tersebut ke Bukit Tagar.

“Dia (Ronnie) dengar sebelah pihak dan tak pernah tanya saya. Ia tuduhan liar dan tak berasas demi kepentingan politik,” tegas beliau bagi menyangkal dakwaan berkenaan.

Isu penternakan babi di negeri Selangor sebelum ini dilaporkan pernah mencetuskan kontroversi hangat sehinggakan operasi aktiviti tersebut akhirnya ditamatkan sepenuhnya selepas menerima titah rasmi daripada Sultan Selangor.

+ - reset