Berita Berita
MOT teliti guna teknologi kekang kes kecurian kabel landasan rel
PADANG BESAR 30 Mei – Kerajaan kini sedang meneliti kaedah yang lebih berkesan termasuk penggunaan teknologi pemantauan khusus bagi menangani kes kecurian kabel landasan kereta api yang dilihat semakin berleluasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang melihat potensi penggunaan teknologi itu bagi mengesan serta mencegah kecurian kabel daripada terus berulang kerana ia merupakan masalah besar kepada perkhidmatan kereta api nasional, khususnya di sektor utara tanah air.
“Ia tidak boleh dilihat sebagai kes kecurian biasa, ini keselamatan negara kerana membantutkan perkhidmatan, telah banyak menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan kereta api dan mengundang risiko bahaya kepada orang ramai,” katanya.
Loke berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin – Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) di sini hari ini, yang disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Majlis tersebut turut dihadiri sama oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Beliau memaklumkan pihak MOT juga telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai langkah untuk memperketat undang-undang berkaitan, memandangkan jenayah tersebut masih berleluasa meskipun pelbagai tindakan penguatkuasaan telah diambil sebelum ini.
Faktor harga pasaran tembaga yang tinggi dipercayai menjadi pendorong utama kepada aktiviti jenayah tersebut, sekali gus menjadi cabaran besar kepada MOT memandangkan rangkaian landasan kereta api negara yang menjangkau kira-kira 1,000 kilometer adalah sangat panjang untuk dipantau secara fizikal.
“Untuk memantau setiap kilometer, setiap kawasan memang sukar sebab ada kawasan yang agak terpencil dan ini memudahkan mereka akses kepada landasan kita,” jelas beliau lagi mengenai cabaran bentuk muka bumi laluan rel.
Sebagai langkah komprehensif, MOT turut meneliti amalan terbaik serta resolusi bersesuaian yang diguna pakai oleh negara-negara luar memandangkan isu kecurian kabel landasan ini merupakan fenomena global yang turut dihadapi oleh mana-mana negara yang mengoperasikan sistem rel.
Berita berkaitan
May 30, 2026, 11:33 am
Gangguan MyIMMs berulang: Lip Eng gesa KDN dedah punca utama, bidas alasan 'hadapi saja'
May 30, 2026, 11:25 am
Pembangunan saksama Sabah, Sarawak fokus utama Kerajaan MADANI memperkukuh keharmonian
May 29, 2026, 11:40 pm
SPRM teliti isu naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil cecah hingga RM24 juta
May 29, 2026, 11:26 pm
